Anak menggigil tahan marah, ibu suka hati jual gelang emas nikah miliknya tanpa izin

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa atas tindakan ibunya menjual barang perhiasan miliknya tanpa meminta izin terlebih dahulu telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Wanita itu mengakui tidak berniat untuk ‘berkira’ namun perbuatan ibunya disifatkan berlebihan memandangkan barang perhiasan yang dijual iaitu seutas gelang emas memiliki makna cukup istimewa buatnya.

Mana tidaknya, gelang emas itu adalah hadiah pemberian suaminya di hari pernikahan mereka dipercayai dijadikan sebagai hantaran menyebabkan wanita terbabit merasa sangat kecewa sehingga mengigil menahan amarah.

Lebih mengeruhkan keadaan, ibunya yang memberikan alasan konon gelang emas tersebut sudah putus turut bertindak mengambil sebahagian wang hasil jualan tanpa meminta persetujuannya terlebih dahulu.

“Dahulu aku tak pakai atas sebab urusan kerja. Leceh nak tanggal ketika bekerja dan pakai balik. Ibu pula tawarkan diri nak simpankan dahulu gelang itu. Aku duduk dengan ibu lagi pada awal perkahwinan dengan suami.

“Sebab kami amalkan perkahwinan jarak jauh (PJJ). Tetapi apabila sudah duduk serumah dengan suami, lupa minta balik. Tiba-tiba mak mesej yang gelang itu putus dan dia sudah jual TANPA bertanya aku dahulu.

“Suka buat keputusan sendiri tanpa tanya anak. Ibu jual dapat kira-kira RM3,000. Selepas itu, dia nak berikan aku RM2,000 sahaja. Kau rasa? Sudahah barang kemas itu aku yang punya. Aku gigil ini. Sumpah tahan marah,” kesalnya.

Dalam perkongsian tersebut, wanita itu memaklumkan bahawa dirinya sudah pernah berjanji sebelum ini tidak akan menjual gelang emas pemberian suaminya walau apa pun terjadi termasuk masalah kewangan.

Wanita terbabit tidak menafikan kejadian berlaku kerana salahnya sendiri yang lupa mengambil semula gelang itu namun berpendapat bahawa ibunya tetap tidak berhak menjualnya tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu.

“Tak kisah mengenai isu duit tetapi tunggulah aku ambil balik gelang itu dahulu. Baru teringat doa aku sebelum ini. Minta nak RM2,000 tetapi tidak spesifik. Allah berikan RM2,000 itu tetapi bersama dengan kesedihan.

“Namun tidak mengapalah. aku sudah reda. Barang juga sudah dijual. Saya mengakui masih bersedih walaupun tahu yang nasi sudah menjadi bubur.” Kongsi wanita terbabit dalam perkongsian itu.

Baca juga: Menteri Agama beri respon susulan wujud perkhidmatan ‘coach cerai’