Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan tampil memberi respon mengenai perkhidmatan ‘coach cerai’ yang bertindak memberi ‘nasihat’ berkaitan rumah tangga.
Beliau berkata, perkhidmatan seperti itu mampu menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga dan krisis perkahwinan.
Menurutnya, kerajaan memandang serius kemuliaan dan kedudukan tinggi institusi perkahwinan dalam Islam, yang menuntut agar sebarang naratif, pendekatan atau istilah dikaitkan dengan perceraian ditangani secara berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, saya menasihati semua pihak agar berhati-hati dalam menggunakan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam masyarakat.
“Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, sebaliknya pasangan yang berdepan krisis rumah tangga perlu digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran yang sah dan berautoriti,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, pasangan suami isteri yang berdepan konflik rumah tangga digalakkan mendapatkan bantuan melalui saluran sah dan berautoriti.
Antara inisiatif disediakan oleh Agensi Hal Ehwal Agama di bawah saya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu KSKCareCentre (KSKCC) yang menawarkan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah bagi membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi serta mencari penyelesaian yang adil dan seimbang.
Baca juga: Satu keluarga terkejut! Ini respon adik-beradik bila Adira dilapor rujuk dengan Datuk Red