Seorang pemuda berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas menceritakan kejadian dialami keluarganya berhubung pencen atau wang persaraan orang tua mereka.
Kejadian itu dikatakan berpunca dari satu soalan yang ditanya ibu mereka mengenai kaedah untuk mengeluarkan wang pencen dalam jumlah agak besar menerusi akaun bank.
Terkejut mendengar soalan tersebut, kesemua adik-beradik pemuda terbabit segera berpusu-pusu pulang ke kampung untuk mendengar sendiri perkara itu dari mulut ibu mereka sendiri.
Mereka juga kelihatan begitu bersemangat untuk balik ke kampung halaman dengan menyediakan juadah bawaan masing-masing agar dapat dinikmati bersama seisi keluarga.
“Mak ada hantar mesej dalam kumpulan sembang keluarga kami. Dia cakap macam ini, ‘Salam anak-anak, macam mana nak keluarkan duit pencen daripada bank?’. Kalau ikut mak, katanya ada lebih kurang RM364,000 dalam akaun itu.
“Yang kelakarnya sebaik sahaja mak cakap macam itu, terus semua rajin nak balik kampung. Adik dari Perlis pun serentak gerak. Siap masing-masing bawa makanan lagi macam ‘potluck’,” katanya.
Kecewa bukan kepalang, wang pencen ditanyakan sang ibu bukanlah dimiliki oleh orang tua mereka sebaliknya kepunyaan jiran yang tidak tahu cara mengeluarkan duit persaraan dari akaun bank suami.
Malah sang ibu juga sempat memberitahu kepada anak-anaknya dengan nada berseloroh bahawa wang pencen arwah bapa mereka sudah lama ‘kering’ selepas habis digunakan.
Tular di media sosial, perkongsian yang berjaya mencuit hati orang ramai itu dimuat naik oleh pemuda berkenaan menerusi satu hantaran di aplikasi media sosial Thread.
“Selepas habis makan-makan sekeluarga, kakak sulung pun tanya dekat mak sekiranya duit pencen arwah abah ada lagi ke yang belum dikeluarkan? Mak jawab macam ini, ‘Bukanlah, yang mak tanya itu mewakili jiran sebelah’.
“Sebab dia nak keluarkan duit daripada akaun suami dia. Mak dengan berselorohnya cakap, duit arwah abah kau sudah lama habislah. Kami semua pun terdiamlah,” kongsinya lagi.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar Thread terhibur dengan perkongsian pemuda itu malah ramai juga berpendapat bahawa ibu mereka berbuat sedemikian supaya anak-anak pulang ke kampung.
Baca juga: Bau ketiak melekat di baju, wanita terkejut dipaksa staf bayar RM1.2k untuk gaun pengantin