Netizen Jepun berdebat, anggap gambar penyokong Jepun bersihkan stadium sekadar ‘wayang’

Oleh KIM SYAZIE

Sikap golongan lelaki di Jepun menjadi perbincangan hangat masyarakat negara itu selepas tular gambar beberapa penyokong membersihkan stadium selepas perlawanan Piala Dunia.

FIFA minggu ini memuji penyokong Jepun di platform media sosial X kerana ‘adab yang sempurna’ apabila mereka mengemas tempat duduk penonton selepas perlawanan.

Biarpun internet dibanjiri dengan pujian kerana sikap penyokong yang rajin mengutip sampah, namun ia mencetuskan perbincangan kritikal mengenai sikap mereka yang jarang melakukan perkara sama di rumah.

Menurut AFP, satu hantaran di X tular selepas mendakwa lelaki Jepun tidaklah sebaik yang sering digambarkan.

“Lelaki Jepun antara yang paling sedikit meluangkan masa melakukan kerja rumah berbanding negara lain,” tulis hantaran itu yang ditonton sebanyak 1.9 juta kali.

“Buatlah juga di rumah.”

Hantaran tersebut disertakan ilustrasi sindiran menunjukkan seorang penyokong yang bangga membersihkan stadium tetapi di rumah sebenarnya hanya berehat di sofa tanpa mempedulikan longgokan pakaian sementara isteri atau ibunya mencuci pinggan.

Lelaki Jepun sememangnya terkenal dengan kurang pembabitan dalam kerja rumah.

Menurut data Pejabat Kabinet Jepun berdasarkan statistik OECD tahun 2021, wanita di Jepun menghabiskan masa 5.5 kali lebih lama berbanding lelaki untuk melakukan ‘kerja tanpa bayaran’ seperti membeli-belah, kerja rumah dan penjagaan ahli keluarga.

Jurang itu jauh lebih besar berbanding Britain, Perancis dan Amerika Syarikat, di mana wanita masing-masing hanya menghabiskan masa 1.8 kali, 1.7 kali dan 1.6 kali lebih lama daripada lelaki untuk kerja-kerja tersebut.

Walaupun ramai penyokong menganggap tindakan membersihkan stadium sebagai bukti budaya masyarakat Jepun yang mementingkan kepentingan bersama, ada juga melihatnya sebagai sesuatu yang sedikit bersifat persembahan atau untuk tontonan umum.

Pendapat mengenai hantaran tular itu turut berbelah bahagi di mana seorang pengguna menulis ‘isteri yang tertekan dengan suami yang langsung tidak membantu membersihkan rumah patut suruh mereka pakai jersi Samurai Jepun di rumah juga.’

Seorang lagi pula mempertahankan ‘ini terlalu umum, bukan semua lelaki Jepun seperti itu.’

Baca juga: PM Anwar anggap diaspora Malaysia ‘duta tak rasmi’, bantu cipta reputasi dan imej negara