Analisis Bloomberg baru-baru ini telah mengesahkan bahawa kekuatan ringgit bukan berpunca dari kelemahan dolar Amerika Syarikat semata-mata.
Laporan yang diterbitkan mendapati, hanya kira-kira suku (25%) daripada kenaikan 12% ringgit sepanjang setahun lalu — yang merupakan paling tinggi di Asia — disebabkan faktor makro seperti sentimen risiko global dan pergerakan dolar AS.
Selebihnya datang daripada asas ekonomi Malaysia yang semakin kukuh, seperti aliran pelaburan yang meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang melebihi jangkaan.
Aktivis Edy Noor Reduan menerusi Facebook menerbitkan terjemahan dan ringkasan dari Bloomberg dalam bentuk yang mudah untuk difahami.
Antaranya adalah, Bloomberg menjangkakan bahawa ringgit berkemungkinan besar boleh bertahan terus kukuh.
Wee Khoon Chong dari BNY berkata, pengukuhan besar ringgit banyak dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam pusat data, selain momentum pertumbuhan ekonomi dan usaha kerajaan menyusun semula kewangan negara.
Menurut beliau, ringgit berpotensi terus mengatasi mata wang negara Asia membangun lain pada separuh pertama tahun ini.
Analisis tersebut menilai kesan beberapa faktor seperti indeks dolar Bloomberg, hasil bon AS dua tahun dan prestasi pasaran saham global.
Hasilnya menunjukkan faktor-faktor ini kurang memberi kesan kepada ringgit berbanding mata wang seperti baht Thailand, dolar Singapura dan peso Filipina.
Keyakinan pelabur terhadap Malaysia betul atau tak?
Benar, keyakinan pelabur terhadap aset Malaysia semakin meningkat walaupun ekonomi negara bergantung kuat kepada perdagangan dan berdepan tarif AS sebanyak 19% sejak tahun lalu.
KDNK Malaysia berkembang 5.7% pada suku Oktober–Disember, menjadikan pertumbuhan tahunan melebihi sasaran rasmi.
Selain itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI) dan sedang muncul sebagai hab pusat data Asia, yang membuka peluang pertumbuhan baharu.
Pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama melonjak lebih 47% dalam sembilan bulan pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menurut MIDA.
Optimisme terhadap Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura turut membantu sentimen pasaran.
Kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan pelbagai insentif cukai untuk menarik pelabur ke zon ini, yang disasarkan menyumbang AS$26 bilion setahun kepada ekonomi menjelang 2030. Pelan induk zon tersebut dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.
Namun, masih ada risiko. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan kepada 4%–4.5% pada 2026, berbanding 4.9% tahun lalu.
Selain itu, HSBC memberi amaran pasaran bon Malaysia antara yang paling berisiko jika kenaikan hasil bon Jepun mendorong pelabur Jepun membawa pulang modal mereka.
Walaupun begitu, penganalisis Goldman Sachs kekal optimistik.
Mereka menjangka eksport teknologi, FDI dan dasar monetari Bank Negara yang stabil akan terus menyokong kekuatan ringgit pada 2026.
Dalam laporan berasingan, Goldman meramalkan ringgit boleh mengukuh ke 3.85 berbanding dolar AS dalam tempoh 12 bulan.
Baca juga: ‘Inspektor Sheila’ ditahan lagi, didakwa cetus kekecohan di sambutan Thaipusam