Siapa sangka, telur mata yang dihidang bersama bihun goreng boleh meragut nyawa seorang remaja berusia 17 tahun dan kanak-kanak perempuan dua tahun.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan selepas makan bihun dan telur mata goreng yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa semalam (Isnin).
Jelasnya, mangsa pertama yang berusia 17 tahun mula mengalami cirit birit sebelum ditemui tidak sedarkan diri oleh keluarganya pada tengah hari, lapor Harian Metro.
“Mangsa memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit birit selepas memakan makanan itu kelmarin.
“Pada jam 1.30 tengah hari semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Manakala mangsa kedua yang merupakan kanak-kanak berusia dua tahun itu pula adalah anak kepada seorang pengawal keselamatan ditugaskan di sekolah berkenaan.
Difahamkan, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit sekitar jam 10.45 malam kelmarin sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang oleh ibunya sendiri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut,” katanya yang memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) setakat ini.
Terdahulu, seorang remaja dilaporkan maut selepas dipercayai menyantap tiga biji telur goreng yang dibawa pulang oleh ibunya daripada satu program di sekolah.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.
Menurutnya, seramai 33 orang guru yang mengikuti program amal islami di sekolah rendah agama terletak di Sungai Cincin, Gombak itu turut mengalami sakit perut.
Pihaknya bagaimanapun telah mengeluarkan arahan agar perkhidmatan bekalan makanan disyaki mempunyai kaitan dengan kes kematian tersebut dihentikan.
Baca juga: “Saya jumpa dia dalam keadaan bergari” – Naim Daniel ‘ceramah’ individu ugut bunuh ibu bapa