Anwar sahkan avatar PMX AI sedang ditambah baik, bakal beroperasi semula

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan avatar AI di platform WhatsApp miliknya kini sedang dipertingkatkan sebagai persediaan untuk kembali beroperasi.

Anwar berkata, sistem berkenaan masih berada dalam fasa percubaan dan usaha sedang dilakukan bagi memastikan ia dapat digunakan semula oleh orang ramai lapor Utusan.

“Kita sedang berusaha ke arah itu (beroperasi semula)… ia dalam percubaan,” katanya seperti dipetik Utusan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan avatar AI miliknya yang ketika ini tidak boleh diakses pengguna.

Terdahulu, perkhidmatan avatar AI berkenaan dihentikan sementara hanya dua hari selepas ia diperkenalkan kepada orang ramai pada 18 Julai lalu.

Platform yang dikenali sebagai PMX AI itu diwujudkan sebagai saluran komunikasi baharu bagi membolehkan rakyat berkongsi pandangan, cadangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus kepada Perdana Menteri menerusi avatar berasaskan AI di aplikasi WhatsApp.

Inisiatif tersebut turut dilihat sebagai pendekatan baharu kerajaan dalam memperkukuh interaksi dua hala antara kepimpinan negara dengan rakyat melalui penggunaan teknologi digital.

PMX AI dibangunkan oleh syarikat teknologi Zetrix AI menerusi platform Avatar.inc.

Sistem AI itu dilatih menggunakan pelbagai sumber termasuk dokumen penulisan, teks ucapan serta rekod dasar kerajaan yang diperkenalkan sepanjang pentadbiran Anwar bagi membolehkan ia memberikan respons yang lebih selari dengan dasar dan pendirian kerajaan.

Baca juga: Projek Pelabuhan AI Di Port Dickson Tidak Libat Pengambilan Tanah – Aminuddin