Anwar umum peruntukan tambahan RM100 Juta kepada rakyat Palestin

Oleh ROSLAN ZAMAN

Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim semalam di Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka mengumumkan dana tambahan kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza sebanyak RM100 Juta.

Anwar berkata peruntukan itu adalah tambahan daripada dana RM100 juta yang telah diumumkan kerajaan dua tahun lalu.

“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim… mereka boleh pertahankan bahawa semua anak-anak kecil (di Gaza) semuanya adalah Hamas, anak berusia dua tahun yang berlari pun dituduh Hamas. Ini adalah penyakit,” 

“Mana pun saya pergi saya tak pernah tinggalkan saudara-saudaraku Palestin.”

“Bagi pihak kerajaan Madani kita telah luluskan dua tahun lalu (dana) RM100 juta, malam ini saya isyitiharkan kerajaan Malaysia akan bagi dana RM100 juta sebagai permulaan dana,” katanya.

Anwar turut menggesa syarikat korporat supaya turut menyumbang bagi tujuan dana kepada Palestin.

Perdana Menteri tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam 9 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.