Apa hukum beli baju raya untuk dapatkan hadiah misteri? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Oleh WAN SITI AMINAH

Sejak kebelakangan ini, banyak jenama fesyen tempatan mengadakan promosi dengan pemberian hadiah misteri untuk pembeli baju raya yang bertuah demi menarik pelanggan mereka.

Antara hadiah misteri yang sering kali ditawarkan oleh jenama fesyen ini adalah motosikal, kereta, pakej umrah sehinggalah jongkong emas lalu membuatkan orang ramai berlumba-lumba membeli produk mereka.

Namun di dalam keterujaan untuk mendapatkan hadiah misteri ini, timbul rasa sangsi di kalangan segelintir pihak yang khuatir sekiranya pembelian seperti ini dibenarkan ataupun tidak di sisi agama Islam.

Hal ini kerana sesetengah orang bimbang jika pembelian bertujuan untuk mendapatkan hadiah misteri ini serupa dengan perbuatan judi ataupun ada eleman pertaruhan di dalamnya.

Perkara ini turut dibangkitkan oleh salah seorang jemaah yang menghadiri sesi ceramah pendakwah bebas popular iaitu Ustaz Azhar Idrus yang kemudian merungkai persoalan tentang pemberian hadiah di atas pembelian.

Menurut pendakwah yang lebih mesra disapa sebagai UAI itu, sesuatu perbuatan menjadi judi apabila pelanggan membuat pembelian tiket untuk mendapatkan hadiah ditawarkan oleh pihak peniaga.

Namun sekiranya pelanggan perlu membeli barangan untuk mendapatkan peluang bagi memenangi hadiah misteri yang ditawarkan oleh pihak peniaga, maka perbuatan itu tidaklah tergolong di dalam judi.

Bagaimanapun, tambah pendakwah bebas berusia 60 tahun itu, jika individu terbabit membeli barangan seperti barang dapur dan berpeluang untuk memenangi hadiah misteri maka ianya tidak tergolong dalam judi.

“Berjudi maksudnya kita tidak membeli barangan. Tetapi, kita membeli tiket. Sebagai contoh, pelanggan membeli tiket dengan harga RM30. Kemudian dengan pembelian tiket tersebut, individu itu layak masuk cabutan bertuah.

“Bermakna dia tidak mendapat sebarang faedah daripada pembelian itu melainkan hanya sekeping tiket. Makanya kalau kalah, individu berkenaan akan menanggung rug. Jadi itu adalah perbuatan judi,” jelas Ustaz Azhar.

Penjelasan yang dibuat Ustaz Azhar dalam sesi ceramah tersebut boleh ditonton menerusi satu rakaman berdurasi satu minit 39 saat dimuat naik di akaun Youtube milik pendakwah terbabit.

Baca juga: Orang Sabah je boleh ‘relate’! Lelaki beli bagasi kosong dan borong roti Gardenia buat ramai terhibur