“Apa sangat sacrifice masa” – Anwar seru pengundi Johor di Singapura pulang mengundi

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Johor yang mencari rezeki di Singapura agar tidak memandang ringan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya akan datang.

Menurut Anwar, masa depan Johor banyak bergantung kepada kestabilan politik dan kesinambungan dasar pembangunan yang sedang dirancang kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, setiap undi memainkan peranan penting dalam memastikan pelbagai projek ekonomi dan pembangunan yang sedang berjalan dapat diteruskan demi manfaat rakyat negeri itu lapor Kosmo! Online.

“Every vote counts. Jangan pandang ringan. Apa sangat sacrifice masa. Bawa balik anak di Singapura untuk mengundi,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan bahawa Johor kini berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai antara pusat ekonomi terpenting negara hasil kerjasama erat dengan Singapura.

Katanya, kerajaan Persekutuan sedang memberi perhatian serius terhadap pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang disifatkan mampu membawa gelombang baharu pelaburan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau menjelaskan rundingan mengenai zon ekonomi itu telah dilakukan bersama kepimpinan Singapura termasuk bekas Perdana Menteri republik berkenaan, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri baharu, Lawrence Wong.

Selain JS-SEZ, kerajaan juga terus memperkukuh beberapa projek strategik lain termasuk peluasan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta pembangunan semula Forest City yang dilihat berpotensi besar membantu pertumbuhan ekonomi Johor.

Menurut beliau, pembangunan berskala besar itu bukan hanya bertujuan menarik pelabur asing, tetapi perlu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat biasa.

Jelasnya, manfaat pembangunan mesti dapat dirasai melalui peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan pendapatan dan kemudahan awam yang lebih berkualiti kepada masyarakat setempat.

Anwar turut memberi bayangan bahawa Johor bakal menjadi antara negeri paling penting dalam landskap ekonomi baharu negara sekiranya semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

Baca juga: Pemandu e-hailing marah penumpang tak ‘kongsi’ subsidi? – “Pinjam BUDI pun kedekut!”