Tahun baharu 2022 ini ramai yang berazam berhenti merokok. Berhenti merokok bukan perkara mudah. Merokok bukan sahaja kebiasaan malah sudah menjadi kebergantungan serta alat bersosial.
Kebergantungan kepada nikotin dari sumber luar (rokok) ini menyebabkan timbul simptom ketagihan apabila nikotin dari sumber luar ini diberhentikan secara mendadak.
Simptom ketagihan rokok adalah lesu, kurang fokus, sakit kepala, resah, dan sebagainya. Simptom-simptom ini menjadikan usaha berhenti merokok agak sukar.
Ada cara meningkatkan peluang untuk berjaya berhenti merokok. Bagaimana? Menggunakan ubat bantuan berhenti merokok! Ubat bantuan ini juga boleh mengawal ketagihan yang kuat dan mengurangkan simptom-simptom.
Doktor atau ahli farmasi boleh membantu menyesuaikan pelan berhenti merokok bersama-sama dengan penggunaan ubat bantuan berhenti merokok.
Terapi penggantian nikotin (NRT)
NRT berfungsi untuk mengurangkan kesan ketagihan nikotin ketika proses berhenti merokok. Ia menyalurkan nikotin ke dalam badan dalam kadar yang terkawal. NRT terdapat dalam pelbagai bentuk seperti tampalan transdermal dan gula getah oral.
◼️Tampalan transdermal
Menyediakan sokongan sepanjang hari dengan membantu melegakan simptom penarikan.
◼️Gula getah oral
Memberikan kawalan yang pantas apabila ketagihan yang kuat menyerang.
Ubat bantuan berhenti merokok boleh dipilih sama ada dengan menggunakan tampalan transderma atau gula getah oral.
Bagi perokok tegar atau mereka yang gagal berhenti sebelum ini, gabungan kedua-dua bentuk NRT (tampalan dan gula getah) telah terbukti meningkatkan kadar kejayaan.
NRT boleh didapati tanpa preskripsi dari farmasi. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk anda menjalankan penilaian awal berhenti merokok dengan profesional kesihatan untuk menentukan dos yang sesuai.
Ubat tanpa nikotin
Ubat tanpa nikotin terdapat dalam bentuk pil. Ia merangsang kawasan otak yang sama seperti nikotin. Ia membantu mengurangkan ketagihan ketika proses berhenti merokok.
Mana nak dapatkan ubat-ubat ini?
Di Klinik Kesihatan, ada perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok. Boleh dapatkan nasihat dan preskripsi ubat berhenti merokok daripada doktor dan ahli farmasi di sana.
Mulakan usaha anda 2022 ini! Moga tahun ini permulaan hidup anda bebas rokok!