Arak tidak wajar dipromosi secara terbuka, kata YADIM

Oleh ARIF ATAN

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) membantah penjualan arak jenama ‘Timah’ yang dikeluarkan sebuah syarikat di negara ini kerana jelas haram di sisi Islam, selain membawa keburukan kepada masyarakat.

Dalam kenyataan media hari ini, YADIM berpendapat penggunaan jenama arak dengan perkataan berbahasa Melayu seperti ‘Timah’ itu sendiri satu strategi penjenamaan yang bersifat provokatif terhadap masyarakat majoriti Melayu Muslim di Malaysia walaupun syarikat pengeluar telah menjelaskan bahawa perkataan itu tidak merujuk kepada nama wanita, sebaliknya terjemahan bahasa Melayu kepada perkataan ‘Tin’.

Sehubungan itu, YADIM menganggap, tindakan syarikat itu yang melancarkan ‘Timah’ secara rasmi pada 7 Oktober yang lalu ketika umat Islam akan menyambut peristiwa kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW juga satu tindakan provokatif.

“Meskipun ada sebahagian agama membenarkan arak, tidak sewajarnya dipromosi secara terbuka dan meluas kepada seluruh masyarakat yang majoritinya adalah dalam kalangan Muslim.

“Mereka boleh menghasilkan dan mengedar arak secara terhad kepada golongan yang dibenarkan dengan pilihan jenama lain yang banyak di pasaran tanpa menyentuh sensitiviti umat Islam,” jelasnya.

YADIM berkata, pihaknya kesal kerana biarpun arak berjenama itu sudah didaftarkan cap dagangan sejak 2019 dan menerima anugerah antarabangsa sejak 2020, polemik yang timbul ini seolah mengulangi kembali kontroversi terhadap penggunaan jenama yang biasa dengan masyarakat Melayu Muslim.

“Tindakan pihak terbabit yang tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat Muslim di Malaysia ini memberikan imej yang buruk kepada kerajaan.

“Tindakan berterusan memprovokasi sentimen umat Islam ini harus segera dihentikan kerana dikhuatiri akan menggugat keharmonian yang menjadi teras kestabilan negara.

“YADIM bersetuju dengan tindakan yang diambil Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang melaporkan perkara itu kepada kementerian yang mempunyai bidang kuasa terhadap penjualan arak di Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya,” tambahnya lagi.