ASNB umum dividen 4.60 sen, tambahan bonus 0.50 sen seunit

Oleh KIM SYAZIE

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Menerusi kenyataan media yang dihebah hari ini, ASNB turut mengumumkan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.

“ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan 3.35 sen seunit, bonus 1.25 sen seunit dan Bonus Tambahan 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022,” kata kenyataan di Twitter.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, pengurus dana terbesar di Malaysia itu telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.

Beliau berkata, jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.

“Bonus tambahan itu adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Baca juga: Isu kestabilan politik sudah hilang hak untuk dibangkitkan lepas Anwar peroleh sokongan majoriti