Asyik terima watak stereotaip, pelakon veteran pilih ‘bersara’

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon yang mampu menjayakan pelbagai watak sering menjadi tumpuan kerana bakat versatil mereka.

Dari watak lucu yang mengundang tawa, watak romantis yang mencuri hati, sehinggalah karakter antagonis yang membuat penonton geram, setiap peranan dibawa dengan penuh penghayatan.

Tapi jika sering diberikan watak yang sama pastinya para pelakon akan rasa muak dan menyebabkan mereka tawar hati untuk terus berlakon.

Buat Datuk Sidi Oraza, kali terakhirnya berlakon adalah pada tahun 2000 lapor Berita Harian.

“Saya boleh katakan saya sudah ‘gantung raket’. Dalam bahasa mudahnya, saya sudah berhenti.

“Lakonan itu suatu seni dan minat saya masih ada. Namun, skrip yang menuntut penghayatan tinggi seperti dahulu sudah jarang saya temui.

“Dahulu, saya berlakon dalam karya-karya berat seperti Sayang Salmah dan Layar Lara. Pada peringkat awal, saya tiada nama, jadi, apa saja watak saya terima.

“Namun, apabila sudah berfikir panjang, saya mula tertanya, sampai bila saya perlu berlakon cerita klise berkisar malangnya seorang ibu Melayu, suami berlaku curang, anak derhaka dan jalan cerita yang berulang. Sebab itu saya cuba keluar dari kepompong itu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Kebanyakan tawaran diterimanya juga ada lebih kepada stereotaip jadi dia lebih selesa memberikan watak kepada pelakon baharu.

“Saya mahukan skrip yang benar-benar mempunyai impak, di mana boleh kita banggakan di peringkat antarabangsa.

“Saya pernah menang di Asia. Jadi, apabila sudah biasa ‘memasak’ hidangan enak, mustahil saya mahu kembali memasak sesuatu yang ala kadar.

“Kalau itu yang diminta, lebih baik saya beri peluang kepada orang lain yang baru hendak belajar,” katanya.

Baca juga: Nora Danish nafi akan menikah esok, jelas perkara sebenar di sebalik kad kahwin tular