Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat kini ditahan di sebuah hospital untuk menerima rawatan selepas disahkan mengalami ‘mild slipped-disc’ atau masalah berkaitan tulang belakang.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh penyanyi berusia 34 tahun terbabit menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram ketika memaklumkan perkembangan terbaharu berhubung kesihatannya.
Menurut pemilik nama sebenar Nurul Suhada Jebat itu, masalah kesihatan berkenaan baru sahaja diketahuinya selain berjanji akan berehat buat sementara waktu dari sebarang aktiviti lasak.
“Rehat sebentar bersama slipped-disc. Assalamualaikum! Baru tahu ada mild slipped-disc. Baiklah, saya akan rehat daripada aktiviti lasak sekejap. Janji. Jururawat dengan kakitangan dekat sini kalau boleh nak pagar bilik ini.
“Sebabnya pesakit asyik lari sahaja entah kemana-mana,” kata Naib Juara rancangan realiti pertandingan nyanyian iaitu The Hardest Singing Show itu di dalam perkongsian di platform media sosialnya tersebut.
Dalam hantaran sama, isteri kepada pengacara iaitu Nabil Mahir itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada peminat dan kenalan yang sudi mengirimkan doa serta bertanya khabar melalui pesanan secara terus (DM).
Pelantun suara Pencuri Hati itu juga sempat bertanyakan pendapat serta tips dari para pengikut khususnya mereka yang pernah mengalami masalah kesihatan slipped-disk berhubung kaedah pemulihan dengan segera.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan, hantar DM dan pesanan melalui Whatsapp untuk bertanya khabar. Tak sangka ramai sayang! Saya akan ingat sampai bila-bila. Sayang kamu semua.
“Teruskan doa biar cepat sihat! Buat yang pernah alami ‘posterior disc’, boleh tolong kongsi tips nak cepat baik. Salam Ramadhan juga buat semua,” kata penyanyi yang turut berkongsi gambar dirinya di atas katil hospital itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengikut Intagram dan rakan artis membanjiri ruangan komen dengan kiriman doa dan juga kata-kata dorongan supaya Ayda cepat sembuh.
Ramai juga pengguna berharap Ayda tidak memandang ringan berhubung masalah slipped disc dialaminya itu dan menasihati penyanyi terbabit untuk mengurangkan aktiviti lasak yang boleh menjejaskan kesihatannya.
Baca juga: Dulu berumah dalam kereta Wira, sekarang berjaya beli rumah sendiri dan bina perniagaan