Dulu berumah dalam kereta Wira, sekarang berjaya beli rumah sendiri dan bina perniagaan

Oleh KIM SYAZIE

Kisah pemuda bernama Ariff Luqman Peter Lisut yang terpaksa berumah di dalam kereta wiranya kerana menanggung hutang lebih RM1 juta pernah mendapat perhatian ramai.

Ariff Peter terjebak dengan pelaburan mata wang digital, dan demi membayar segala hutang itu dia melakukan banyak pekerjaan termasuklah melakukan perkhidmatan penghantaran barang.

Namun siapa sangka, setelah lebih dua tahun kisahnya tular, dia akhirnya berjaya melangsaikan kesemua hutang tersebut dan kini sudah pun memiliki rumah sendiri.

Lapor Harian Metro, pemuda berusia 29 tahun itu membeli rumah jenis kondominium di Jalan Kuching di pada harga kira-kira RM600,000 pada pertengahan tahun lalu dan mula menghuni selepas kunci diterimanya Januari lalu.

Ariff Peter yang baru mendirikan rumah tangga berkata, pembelian rumah itu bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, selain memenuhi impiannya mengumpul hartanah.

“Saya sudah rancang agak lama juga untuk miliki rumah ini iaitu sebelum berkahwin kerana saya perlu tunaikan nafkah yang wajib iaitu tempat perlindungan untuk isteri.

“Ini juga adalah satu bentuk pelaburan. Ada rezeki nanti, saya mahu tambah lagi (rumah) untuk pelaburan masa hadapan.

“Sekurang-kurangnya, jika saya tak boleh jual rumah itu, saya boleh sewakan. Saya sasarkan untuk beli dan sewakan banyak rumah di Kuala Lumpur sebagai pendapatan pasif saya,” katanya seperti dilapor.

Berkongsi kisah kebangkitannya dalam kehidupan yang sukar, Ariff Peter berkata, peluang dikenali ramai memberi limpahan rezeki apabila ditawarkan pelbagai job.

“Pendapatan itu mencecah lima angka. Duit lebihan daripada perkhidmatan itu saya gunakan untuk melabur dalam perniagaan.

“Sekarang saya sudah ada kedai makan, gim, kedai runcit untuk jana lebih banyak pendapatan,” katanya.

Baca juga: Wanita kongsi rahsia nasi minyak bau harum, rupanya kena masukkan satu bahan ni…