Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak sepatutnya mengheret institusi diraja dalam masalah yang dihadapinya.
Setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri Syahredzan Johan berkata kenyataan Azam Baki seolah-olah seperti ingin melibatkan institusi diraja dalam masalahnya sendiri.
Azam Baki mendakwa bahawa tindakan ‘memfitnah’ dirinya seperti ‘menghina’ Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang telah melantiknya ke jawatan tersebut.
Beliau dilaporkan mengatakan sedemikian dengan merujuk kepada tindakan undang-undangnya terhadap wartawan Lalitha Kunaratnam, yang telah mendedahkan milikan saham berkait dengannya.
“Azam Baki sudah tentu sedar bahawa menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dalam erti kata lain, YDPA tidak mempunyai budibicara dalam menentukan lantikan Ketua Pesuruhjaya, selaras juga dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, Azam Baki tidak wajar cuba untuk mengheret institusi raja berperlembagaan ke dalam kancah masalah defisit keyakinan dirinya sendiri.
Malahan, kata pengamal undang-undang itu tindakan Azam Baki boleh dilihat sebagai membelakangi peranan YDPA sebagai Ketua Negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Maka, Tan Sri Azam Baki digesa untuk menarik balik kenyataan tersebut dengan kadar segera,” katanya.