Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengakui bahawa pejabatnya ada menerima usul agar beliau mengosongkan jawatannya.
Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan bahawa pihaknya menolak usul tersebut yang telah dikemukakan Ahli-ahli Parlimen.
Beliau menegaskan tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung pertukaran jawatan tersebut dan akan diserahkan kepada timbalannya kerana mempunyai percanggahan kepentingan.
“Pejabat saya sememangnya menerima pemberitahu usul untuk saya mengosongkan jawatan dan supaya individu lain dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada semua pengusul bahawa saya tidak sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan.
“Apa-apa mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada timbalan saya, Mohd. Rashid,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azhar menambah, beliau tidak pernah campur tangan atau mengambil bahagian berhubung usul pertukaran jawatan Speaker.
Beliau juga tidak tahu menahu mengenai keputusan yang mungkin telah dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon
“Laporan yang mengatakan antara lain bahawa saya telah mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas dan juga mempunyai unsur inuendo bahawa usul-usul tersebut ditolak oleh saya adalah tidak benar.
“Saya anggap bersifat pembohongan dan fitnah serta dibuat dengan niat untuk menjatuhkan reputasi saya. Saya akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” ujarnya.
Pada semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa 15 usul yang dikemukakan ahli Parlimen yang mahu Azhar Azizan ditukar, telah ditolak.
Sumber kepada portal berkenaan memberitahu, usul berkenaan diketepikan daripada dibahas pada sidang Parlimen yang dijadual bermula 13 September hingga 12 Oktober.