Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebentar tadi mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas gelaran ‘Tan Sri’ yang diterima.
Walau bagaimanapun, ucapan tahniah daripada Ahli Parlimen Gombak yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu mengundang reaksi yang rata-ratanya bernada kecaman dan sindiran daripada warganet.
“Duta Khas boleh dapat. Apa dia buat?” persoal pengguna Facebook, Khairul Shahril Jamaludin antara mereka yang membanjiri ruangan komentar dalam hantaran tahniah daripada Azmin itu.
Kelayakan Hadi yang juga Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri sejak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menerima gelaran itu paling banyak dipertikai netizen.
“Tak kisah berapa banyak anugerah dia dapat. Persoalannya, adakah dia layak?” tempelak Mehmed Luthfi.
Tidak kurang juga yang mengaitkan amanat ekstrem Hadi kepada ahli dan penyokong Pas sejak 40 tahun lalu yang antara lain menuduh Umno sebagai parti kafir.
“Jasa kerana keluarkan Amanat,” perli Pauzi.
Untuk rekod, Amanat Haji Hadi yang merupakan ceramahnya di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 kemudiannya dikatakan sebagai punca tragedi Memali seperti pernah didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam masa sama, warganet juga menyindir rekod ketidakhadiran Hadi yang kerap dalam sidang Dewan Rakyat.
“Alhamdulillah, selalu ponteng Parlimen pun dapat Tan Sri,” sinis Muazam Zam.
Selain itu, ada juga yang menyindir ‘tuan guru’ Pas berkenaan dengan keputusan kerajaan membenarkan arak jenama tempatan, Timah yang sebelum ini mencetuskan kontroversi untuk mengekalkan nama itu.
“Berkat Timah,” komen ringkas Hafidz Mohd Akhir di ruangan komentar hantaran Facebook Azmin yang juga abang kandung Azwan Ali atau Diva AA itu.
Abdul Hadi, 74, antara 19 individu yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) dengan gelaran ‘Tan Sri’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.