Kementerian Luar (Wisma Putra) memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur pada pagi ini untuk menegaskan kembali kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap “tindakan keji” membakar senaskhah al-Quran di Stockholm.
“Kementerian menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan berterusan pihak berkuasa Sweden untuk mengambil tindakan ke atas Rasmus Paludan, membolehkan beliau untuk meneruskan perbuatan terkutuk itu termasuk insiden sama pada April 2022, walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat antarabangsa,” menurut kenyataan Kementerian Luar.
Kementerian itu turut menggesa pihak berkuasa Sweden supaya mengambil langkah serius untuk menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di Sweden yang boleh menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia yang berbilang agama sekiranya islamofobia dan xenofobia terus berleluasa.
Walaupun kementerian mengambil maklum mengenai sesi taklimat yang dihoskan Timbalan Menteri Luar Sweden Jan Knutsson pada 23 Januari yang dihadiri oleh wakil Kedutaan dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Stockholm, termasuk Malaysia, Kementerian turut menggesa kerajaan Sweden mengambil inisiatif yang kukuh bagi menyelaras pendirian mereka dalam menghormati masyarakat Islam secara menyeluruh.

“Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur mengambil maklum bantahan Kerajaan Malaysia dan akan menyampaikannya kepada Stockholm,” menurut kenyataan itu.
Sabtu lalu, ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Paludan mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm yang telah mencetuskan kemarahan dunia Islam.
— BERNAMA
Baca juga : Terkejut lauk tengahari di KL cecah RM71 walhal makan dua orang