Bakti Pak Lutfi membaja aktivisme mahasiswa tidak terhitung

Oleh ARIF ATAN

Tidak putus-putus kenalannya, baik pemimpin-pemimpin politik, aktivis politik, pengamal media dan mahasiswa menceritakan kebaikannya.

Bakti Pak Lutfi membaja aktivisme mahasiswa juga tidak terhitung. Ketika perjuangan mahasiswa tidak mendapat perhatian ramai, Pak Lutfi, begitu ambil peduli.

Selaku Ketua Pengarang Harakah, Pak Lutfi telah membuka satu pojok khusus kepada mahasiswa di dalam Harakah, iaitu “Dunia Kampus” untuk mengangkat isu-isu yang diperjuangkan mahasiswa.

Pak Lutfi bukan sekadar membuka ruang itu, tetapi turut mengulasnya menerusi “Catatan Hujung” Pak Lutfi. Catatan Hujung bukanlah sekadar ulasan biasa, tetapi merupakan lambang kecelikan dan ketinggian minda kewartawanan.

Pak Lutfi pada saya ialah guru yang tidak pernah berasa penat berpesan agar berani “melontarkan kritikan” kepada sesiapa pun. Itulah juga prinsip yang dipegangnya.

Sesiapa yang mengikuti tulisannya pasti sedar betapa berbisanya kritikan Pak Lutfi kepada beberapa figura politik tanah air, sama ada Mahathir mahupun Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu. Meskipun kesihatannya makin merosot dan matanya disapa kabur, cerapan politiknya masih lagi ‘tajam’.

Dalam masa sama, saya juga berasa bersyukur, kerana anak saya Abdurraqib sempat bertemu dan mengambil semangat perjuangan dengan Pak Lutfi suatu ketika dahulu.

Selamat jalan Pak Lutfi. Kami akan teruskan perjuangan Pak Lutfi dalam mencerahkan masyarakat.

Gambar atas: Penulis dan rakan aktivis mahasiswa UM, UMSKAL dan IPTS ketika menziarahi Ahmad Lutfi Othman pada 2014.