Seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman peribadinya mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), pernah menghulurkan sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang pernah dihadirinya.
Menurutnya, sumbangan itu diberikan ketika bantuan kewangan kerajaan kepada sekolah agama rakyat berkenaan dihentikan.
Menerusi satu hantaran di platform X, pengguna dikenali sebagai Masturah berkata dia merupakan bekas pelajar Maahad al-Ummah di Chemor, Perak.
Menurutnya, ketika berada di Tingkatan 1 pada tahun 2002, terdapat sebuah bangunan yang menempatkan dewan makan dan surau yang masih kelihatan baharu.
Masturah mendakwa cikgu-cikgu di sekolah itu memaklumkan bahawa sebahagian kos pembinaan bangunan tersebut disumbangkan oleh Anwar Ibrahim.
“Saya dulu sekolah agama rakyat, Maahad al-Ummah, Chemor. Di sekolah ni ada satu bangunan besar, dewan makan dan surau.
“Tahun 2002 masa di Tingkatan 1, bangunan tu masih kelihatan baru. Rupanya, cikgu dan ustaz kata, bangunan tu sebahagiannya didermakan oleh PMX. MasyaAllah.
“PMX tahu sekolah agama masa tu susah, sebab Tun M hentikan bantuan kewangan.
Sejak PH perintah pada 2022, PMX kembalikan bantuan kewangan untuk sekolah agama rakyat, kini dipanggil SABK,” kongsinya dalam hantaran di Threads.
Dalam hantaran susulan, Masturah turut meluahkan rasa bangga apabila nama sekolahnya tersenarai dalam poster lawatan Perdana Menteri ke institusi berkenaan.
“Selamat kembali PMX ke sekolah yang boleh berdiri hari ini asbab sifat kedermawanan beliau dan cinta kepada pendidikan ummah,” katanya.
Dia juga mengaitkan pengalaman itu dengan dasar kerajaan semasa yang menurutnya telah mengembalikan bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat sejak pentadbiran Kerajaan Perpaduan mengambil alih pada penghujung 2022.
Baca juga: PM Anwar umum dana RM15 juta buat sekolah pondok dan agama, maahad di Perak