Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk disalurkan kepada sekolah pondok dan agama di seluruh negeri Perak bagi tahun 2026.
Menurut Anwar, insiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Madani untuk terus memperkasa pendidikan Islam, membudayakan majlis ilmu serta memperkukuh institusi agama yang menjadi antara keutamaan pentadbiran.
Perkara itu diumumkan beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan dalam Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor.
Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan saluran dana berjumlah RM300,000 kepada sekolah tersebut dengan tujuan untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran dan prasarana di institusi pendidikan agama berkenaan.
“Bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang pernah dihentikan pada tahun 2003 telah kita kembalikan sebagai pengiktirafan terhadap peranannya melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan beramanah.
“Sebagai bukti komitmen tersebut, saya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh Negeri Perak bagi tahun 2026, termasuk RM300,000 khusus kepada Maahad Al Ummah, Chemor.
“Semoga segala ikhtiar ini terus menyuburkan tradisi ilmu, memperkukuh syiar Islam serta melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu memimpin negara berteraskan nilai ihsan, amanah dan hikmah,” katanya dalam hantaran di platform X.
Dalam perkongsian sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut menyentuh kepentingan untuk memuliakan majlis ilmu, memperkukuhkan institusi pendidikan Islam dan mengangkat martabat para ulama dalam mengembangkan syiar Islam.
Hal ini kerana kekuatan sesebuah negara itu tidak hanya diukur pada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan pembangunan semata-mata tetapi juga daripada segi sejauh mana budaya ilmu, akhlak dan nilai terus subur dalam masyarakat.
“Saya sendiri banyak mendapat bimbingan dan pandangan daripada para ilmuwan Islam negara dalam membentuk pendekatan pentadbiran yang berteraskan ihsan, keadilan dan hikmah.
“Saya masih ingat nasihat Allahyarham Dato’ Wan Zahidi Wan Teh agar menelaah Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah karya Imam al-Syatibi yang banyak memberi pedoman tentang fiqh perubahan, khususnya dalam mengimbangi tuntutan perubahan dengan maslahat ummah.
“Pedoman itulah yang terus menjadi pegangan saya. Membina negara menuntut kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan, merangkul sebanyak mungkin kekuatan yang ada tanpa mengorbankan keamanan dan perpaduan. Perubahan mesti dilaksanakan dengan hikmah dan menurut marhalah yang sesuai.” Ujarnya lagi.
Baca juga: Silap langkah boleh jejaskan pasaran China, KPKM minta pemain industri patuh protokol eksport durian