Bantuan Wang Ihsan banjir akan disalurkan segera

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan akan menyalurkan segera pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana banjir, selepas mendapat maklumat lengkap disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menetapkan tempoh selewat-lewatnya seminggu, untuk menyalurkan bantuan berkenaan kepada negeri dan daerah terlibat.

“NADMA tidak akan bertangguh dari aspek tersebut, itu juga komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, bahawa ia perlu disalur segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat di Pusat Kawalan Operasi Bencana Muar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat pusat pemindahan sementara (PPS) IKTBN Pagoh, dan PPS Dewan Serbaguna Pagoh.

Armizan berkata, ketika ini, pihaknya faham Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah memerlukan sedikit masa untuk menyemak data dan statistik, supaya tidak berlaku pertindihan dan memastikan hanya mangsa banjir yang berkelayakan menerima bantuan tersebut.

Baca Artikel Penuh