Bapa capai batang besi, mengamuk anak dapat kad merah? – “Bola Malaysia dah nazak”

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang lelaki berusia yang sedang memegang batang besi ketika perlawanan bola sepak berlangsung tular di media sosial, baru-baru ini.

Difahamkan, lelaki berkenaan merupakan bapa kepada salah seorang pemain bola sepak yang telah dikenakan kad merah oleh pengadil di dalam perlawanan tersebut.

Tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, bapa yang naik berang itu bertindak mengambil batang besi di tepi padang sebelum berjalan menuju ke tengah dataran.

Bapa pemain itu bagaimanapun sempat dihalang oleh petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas dan batang besi di tangannya juga terus dirampas.

Tular di media sosial, rakaman kejadian itu dimuat naik semula di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai @ronramka.

“Anak kena kad merah, kau ambil batang besi nak pukul pengadil. Bola Malaysia ini sudahlah nazak, ada pula orang macam ini jadi ‘enabler’ kepada anak-anak. Tunjuk perangai tak semenggah.

“Teruk betul ibu bapa macam ini. Kalau aku jadi jurulatih, sudah perhambat keluarlah pemain itu. Menyusahkan,” kata pemilik akaun X terbabit meluahkan ketidakpuasan hatinya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna merasa geram dengan tindakan lelaki terbabit yang terlalu mengikut emosi hingga menjejaskan perlawanan.

Ramai juga individu menyelar bapa berkenaan yang seharusnya mendidik anak-anak dengan menunjukkan contoh dan pengaruh baik terutama kepada pelapis atlet negara.

“Kenapa ibu bapa sekarang ramai perangai macam ini ya? Hari itu maki-maki cikgu sebab potong rambut anak. Ini nak pukul pengadil pula. Dekat sekolah dahulu bapa itu tak pernah kena sebat ke?” kesal seorang pengguna.

“Bapak zaman sekarang. Bapak aku dahulu, kalau dapat kad merah memang dia yang sebat aku. Pengadil pula yang kena tahan bapak aku.” Kongsi pengguna lain dalam nada berseloroh.

Diharapkan ibu bapa di luar sana tidak terlalu mengikut emosi kerana setiap tingkah laku kita menjadi ikutan oleh anak-anak.

Baca juga: “Saya rasa saya orang tua yang gagal” – Lelaki menangis dapat tahu anak kahwin dengan guru pondok tanpa wali