Demi melihat anak sulung menjejakkan kaki ke Institut Pendidikan Guru (IPG), seorang bapa dari Kedah rela melepaskan kereta kesayangannya yang telah dimilikinya selama 10 tahun.
Hanya RM800 hasil jualan, namun itulah modal untuk membiayai perjalanan, makan minum, dan keperluan keluarga.
Kisah ini bukan sekadar tentang sebuah kereta, tetapi tentang kasih seorang ayah yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi masa depan anak tercinta.
Walaupun sudah menerima pelbagai dana, bapa Muhammad Syahmi Azril Saidijamal tetap rela menjual kereta untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Saidijamal Abu Said menjual kereta Proton Iswara Aeroback dua minggu lalu untuk menampung kos perjalanan termasuk menyewa kereta lapor Kosmo! Online,
“Saya tak mahu kacau dan guna duit anak (Muhammad Syahmi) hasil pemberian orang ramai. Demi masa depan anak sulung, saya sanggup jual kereta yang dibeli sejak 10 tahun lalu.
“Wang jualan kereta yang diterima sebanyak RM800 itu digunakan untuk kos perjalanan sepanjang kami mai (datang) ke sini (Pulau Pinang) termasuk makan minum kami sekeluarga, hari ini.
“Malah, sebahagiannya juga digunakan untuk urusan sekolah dua anak termasuk isteri yang dijangka menjalani rawatan radioterapi akibat kanser payudara tahap empat September nanti,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama, dia mendedahkan inilah kali pertama anak sulungnya dan dua adik lelaki berjalan jauh, keluar dari Kedah.
“Kami keluar awal pada pukul 5.45 pagi tadi dan tiba di sini pada pukul 7.30 pagi. Kami hadir bersama kira-kira 15 sanak-saudara termasuk ibu dan ayah mertua. Urusan hari ini berjalan lancar.
“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku (kesempitan wang) termasuk isteri yang sakit tapi sebagai ayah saya bangga kerana Muhammad Syahmi akhirnya berjaya menjejak kaki ke IPG.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua atas sumbangan dan bantuan kewangan kepada anak saya. Semoga anak saya dapat membalas balik jasa semua dengan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya doa dia berjaya menjadi seorang guru dan bantu orang lain yang berdepan kesusahan,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan impian remaja itu untuk melanjutkan pengajian di IPG Kampus Tuanku Bainun mungkin tidak kesampaian disebabkan masalah kewangan.
Isu ini menarik perhatian ramai termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kerajaan negeri Kedah dan pertubuhan bukan kerajaan iaitu Kelab Anak-anak Sik.
Baca juga: Khabar gembira buat 8.6 juta rakyat, STR Fasa 3 akan dibayar mulai esok