Baru-baru ini tular perkongsian daripada seorang wanita bergelar anak yang merasa dilema dengan permintaan bapanya untuk menggunakan nama adik bagi membuat pinjaman di bank.
Lebih merumitkan keadaan, adiknya bukan sahaja belum bekerja malah pinjaman pula dimohon bertujuan untuk melakukan pembiayaan semula atau ‘refinance’ rumah isteri kedua bapanya iaitu ibu tiri mereka.
Wanita itu mengakui adik-beradiknya bukan tidak mahu membantu langsung namun sosok ibu tiri mereka belum dikenali dengan rapat malah bapa juga duduk berjauhan di negeri yang berasingan.
“Sekadar mahu bertanyakan pendapat. Bapa saya selepas berkahwin dua, dia memang duduk di rumah isteri muda. Isterinya buka kedai sarapan pagi. Jadinya ayah bekerja di bawah isteri keduanya dengan membuat roti canai.
“Kedai tersebut memang selalu ada masalah. Sampaikan selalu meminjam sana sini. Baru-baru ini ayah ada hantar pesanan mesej dekat adik yang masih belajar untuk pakai namanya buat refinance rumah isteri kedua.
“Duit juga nak digunakan untuk kedai makan dia. Soalnya sekarang, patutkan adik saya benarkan ayah pakai nama dia untuk jadi peminjam? Ayah tak duduk dengan kami. Isteri kedua juga kami tak tahu langsung macam mana,” soalnya.
Menurut sang anak yang tinggal di Johor Bahru bersama adik-beradiknya itu, bapa mereka memaklumkan bahawa nama tersebut hanya digunakan sementara waktu hingga anaknya bersama isteri kedua mencapai usia 18 tahun.
Perkongsian dibuat menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman media sosial Threads tanpa mendedahkan identiti mana-mana pihak kerana wanita terbabit merasa buntu untuk membuat keputusan.
“Ayah kata dia nak pakai nama anaknya iaitu adik tiri kami. Tetapi belum cukup umur. Selepas usianya 18 tahun, bapa akan tukar semula ke nama adik tiri. Apabila adik saya tak benarkan pinjam nama, ayah macam marah.
“Ayah tawar hatilah dengan kami sebab katanya tak nak bantu dia pinjamkan nama sebagai peminjam sementara. Kami anak-anak isteri pertama ini sudah buntu fikirkan. Nak bantu ataupun tidak?
“Apa pendapat kamu semua. Tolonglah bantu saya untuk buat keputusan. Tak tahulah nak jaga hati ayah atau nak fikie masalah yang akan datang nanti,” pohon wanita itu dengan harapan dapat mencari jalan penyelesaian.

Baca juga: Tak sangka Anuar Zain pernah kena sindir tumpang populariti kakak masa kerja pramugara, puncanya…