Siapa sangka, seorang graduan universiti tempatan sudah berjaya memperoleh pendapatan RM11,000 sebulan sejurus selepas tamat pengajian.
Bukan perkara mustahil, gadis kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu rupanya diterima bekerja di syarikat antarabangsa Denmark yang bertapak di Singapura.
Menuntut ilmu di Universiti Utara Malaysia (UUM), gadis itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan).
Dikenali sebagai Wong Wei Jie, gadis tersebut turut berkongsi panduan khususnya kepada anak muda untuk mendapatkan kerja yang diidamkan.
Selain ilmu, Wei Jie memaklumkan bahawa graduan perlu memiliki kepakaran dalam bidang tertentu dan juga soft skills terutamanya kemahiran komunikasi.
Tidak hanya dapat melancarkan urusan pekerjaan, graduan yang memiliki kemahiran tersebut juga dijamin akan mendapatkan jawatan.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Wei Jie berkongsi bahawa penglibatannya dalam kegiatan kokurikulum banyak membantunya menguasai kemahiran tersebut.
“Dunia kerjaya, memang sangat berbeza dengan menuntut ilmu di universiti dari segi membina hubungan dengan staf yang lain, jaringan antara jabatan.
“Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini banyak mengajar saya menjadi lebih berdikari, teratur dari segi pengurusan masa dan organisasi.
“Akademik cemerlang, kokurikulum mantap barulah dapat merasai keseronokan bergelar mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan sebanyak mungkin,” katanya.
Untuk rekod, Wei Jie menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama di UUM dengan purata nilai gred keseluruhan (PMK) 3.84.
Keputusan tersebut membenarkan Wei Jie menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UUM ke-35 yang dianjurkan baru-baru ini.
Untuk rekod, graduan UUM itu mendapat gaji RM11,000 sebulan dengan memegang jawatan ‘Global Management Trainee’ di syarikat Maersk Omnichannel Fulfilment.