Baru kerja dah kahwin, mak mentua ‘terasa hati’ anak bagi duit bulanan kurang sebab ada isteri

Oleh MAISARAH AISYA

Apabila sudah berkahwin pastinya tanggungjawab semakin bertambah maka tidak terkejut jika duit yang selalu diberikan kepada ibu bapa berkurangan.

Namun sebagai ibu bapa perlulah lebih memahami kerana mereka terlebih dahulu makan garam maka pastinya pernah melalui situasi ini.

Seorang wanita berkongsi kisah mengenai situasi rakannya yang tidak baik dengan mak mentuanya di Tiktok.

Wanita itu memaklumkan bahawa mak mentua rakannya tidak berpuas hati kerana anaknya (suami kepada rakan) memberikan gaji kepada isterinya.

Walaupun sudah jelas bahawa ia adalah duit nafkah, si ibu merasakan dia lebih layak untuk dapat lebih kerana sudah bersusah payah membesarkan lelaki tersebut.

Ibu mentua menyifatkan si suami masih tidak habis membalas budi kerana bernikah awal walhal baru masuk dunia pekerjaan.

Belum sempat merasa kejayaan anak, kini terpaksa pula berkongsi gaji anaknya itu apatah lagi isteri hanya suri rumah.

Rata-rata warganet turut berkongsi hal sama, malah hubungan mereka bukan sahaja dicemburui ibu mentua malah seluruh ahli keluarga pasangan.

“Bukan cuma mentua, ipar juga ada yang begitu. Tak senang lihat abang atau adik tanggung isteri apatah lagi jika hidup adiknya lebih senang.

“Sampai bagi hadiah pun mentua hanya berterima kasih dekat anak sebab aku ni tak kerja dan dia tahu itu duit anak dia.

“Macam mentua aku, masih tak boleh terima anaknya sudah berkahwin, aku pula tertekan berada dalam posisi ini,” antara komen warganet.