Baru kongsi kapsyen romantis, netizen tak percaya khabar penceraian Fikry Ibrahim

Oleh WAN SITI AMINAH

Khabar mengenai rumah tangga pelakon, Fikry Ibrahim yang dikatakan sudah berada di ambang penceraian telah mengejutkan ramai pihak khususnya di dalam kalangan peminatnya.

Mana tidaknya, selebriti berusia 31 tahun itu baru sahaja memuat naik gambar mesra bersama isterinya iaitu Khalizah Alihan yang dipercayai diambil semasa mereka sedang bercuti di akaun Instagram miliknya.

Fikry turut menulis kapsyen romantis, “Engkaulah ketenangan yang meredakan segala badaiku, ketenangan di mana hatiku yang gelisah menemukan tempatnya. Cinta pertamaku dan satu-satunya”, dalam hantaran pada dua hari lalu itu.

Gambar sama turut dimuat naik oleh Khalizah pada tiga hari lalu bersama kapsyen diubah sehari kemudian dengan makna, “Mengetahui bahawa aku takkan pernah mencintai jiwa lain seperti mana aku mencintai jiwamu”.

Orang ramai dilihat ‘berkampung’ di akaun media sosial Instagram milik Fikry untuk bertanya tentang kehadiran isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada pukul 9.40 pagi tadi dengan persalinan serba hitam.

Akaun milik Khalizah turut diserbu oleh netizen dengan pelbagai pertanyaan selain menyimpan harapan bahawa khabar tersebut hanyalah sekadar gosip semata-mata dan mendoakan supaya perkahwinan mereka berkekalan.

“Abang (Fikry Ibrahim), saya datang untuk mendapatkan kepastian. Betul ke berita mengenai perceraian itu?,” soal salah seorang pengikut dalam ruangan komen gambar tersebut di akaun milik pelakon terbabit.

“Harap hanya gosip semata-mata. Apa pun yang terjadi, semoga ada jalan penyelesaian dan dipermudahkan urusan. Sayang kalau macam pengakhirannya. Sebab kamu berdua sama cantik, sama pada,” komen peminat lain di Instagram Khaliza.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Khalizah iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd. Razib mengesahkan bahawa sebutan kes perceraian pasangan itu berlaku pada hari ini namun tidak tidak pasti mengenai kehadiran Fikry.

Menurut Muhammad Afiq, anak guamnya itu memfailkan perceraian terhadap suaminya pada bulan Mei lalu kerana tiada lagi persefahaman namun masih terbuka untuk berbincang bagi mencapai pendamaian antara mereka.

Namun Fikry ketika dihubungi pihak media sebelum ini mengakui terkejut ekoran hubungannya dengan Khalizah berada di dalam keadaan baik selain tidak tahu menahu bahawa isterinya telah memfailkan penceraian.

Siti Khalizah difahamkan hadir untuk prosiding pertama sebutan kes perceraian hari ini namun mahkamah terpaksa menetapkan satu tarikh baharu iaitu pada 10 September depan susulan ketidakhadiran Fikry.

Sekadar info, Fikry dan Khalizah baru sahaja mendirikan perkahwinan pada 12 Februari lalu di dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.

Pasangan itu mengambil pendekatan untuk menjaga privasi sejak awal perhubungan sehingga perkahwinan mereka hanya diketahui umum selepas Fikry memuat naik gambar pernikahan.

Baca juga: ‘Anak saya mesti berbintikan Zainal Abidin, kalau tidak…’ – Zainal Abidin