Selepas tular video perang mulut, isteri bekas ketua polis negara, Elly Afizahwati Abdul Jalil memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.
Elly membuat permohonan itu atas alasan shiqaq (perbalahan berpanjangan) dengan Tan Sri Musa Hassan yang dikahwininya 10 tahun lalu lapor media tempatan.
Dia diwakili peguam syarie, Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud serta permohonan cerai itu dikemukakan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Sebelum ini tular klip video lelaki yang dikatkan mirip Musa berkelahi dengan seorang wanita di dalam sebuah rumah.
Musa bagaimanapun menggesa orang ramai untuk tidak masuk campur dan menghormati privasinya.
Tidak hanya itu, beliau juga memberi amaran untuk ambil tindakan undang-undang kepada pihak yang membuat spekulasi.
Sementara itu, Elly berkata akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak yang berusia lapan tahun.
“Tan Sri (Musa) pun sudah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu.
“Selepas tuntutan cerai ini saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun,” ujarnya kelihatan sebak.
Bukan sekadar itu, Elly mengecam penyebaran video pergaduhan yang jelas menunjukkan wajah anak kecilnya.
“Telefon bimbit mengandungi video tersebut telah diserahkan kepada polis, jadi saya tidak pasti sama ada ia tersebar kerana orang dalaman atau tidak,” katanya.
Dia juga berkata video itu boleh melindungi dirinya dan menjadi bukti di Mahkamah Syariah kelak.
Mahkamah menetapkan 11 Mei untuk sebutan semula kes.
Baca juga: Tular video bergaduh dengan isteri, Musa Hassan beri amaran jangan masuk campur