Perkongsian seorang majikan yang meluahkan kekesalan atas tindakan pembantu rumahnya melarikan diri selepas menerima gaji pada bulan pertama bekerja telah berjaya mencuri perhatian orang ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, pembantu rumah yang dipercayai berasal daripada Indonesia itu sanggup meninggalkan anak-anak majikannya yang masih kecil dalam keadaan rumah tidak berkunci tanpa memikirkan keselamatan mereka.
Berdasarkan perkongsian dimuat naik di platform TikTok, majikan berkenaan juga mendakwa bahawa pembantu rumahnya itu turut melarikan barangan kemas miliknya sewaktu kejadian berlaku.
Sehubungan dengan itu, majikan terbabit memutuskan untuk menularkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian pada Rabu lalu dengan harapan orang ramai dapat membantu mengesan pelaku.
“Kejam-sekejamnya! Meninggalkan dua anak yang masih kecil. Seorang itu berada dalam keadaan demam terlantar atas kerusi. Seorang lagi menangis hampir satu jam selepas dibiarkan. Pintu juga dibiarkan tidak berkunci.
“Ada orang yang ambil dan tunggu pembantu rumah itu di luar rumah! Mencuri barang emas majikan! MOHON SEBARKAN,” katanya menerusi hantaran video berdurasi 24 saat yang sudah meraih sebanyak 2.7 juta tontonan itu.
Difahamkan, pembantu rumah berusia 24 tahun terbabit diambil melalui agensi dan dikatakan baru tiba di negara ini sebulan yang lalu sebelum bertindak melarikan diri sebaik sahaja menerima gaji pertamanya.
Majikan itu berharap wanita warganegara asing itu dapat ditemukan demi mendapatkan keadilan agar tiada lagi mangsa akan menerima nasib sama sepertinya dengan penularan perkongsian di akaun TikTok tersebut.
“Terima kasih di atas usaha sama semua yang berkongsi semula, meninggalkan tanda suka dan pihak portal Kisah Dunia kerana menyiarkan artikel. Saya memohon jasa baik semua untuk terus mencari Dewi Muliyana (pelaku).
“Jadikan saya dan anak-anak ini orang terakhir dianiaya. Jangan sampai kena kepada orang lain. Sebab luluh dan hancur hati seorang ibu tidak terkata apabila melibatkan nyawa anak.” Ujarnya dalam perkongsian berikutnya.
Baca juga: Restoran Ajak Shiro berjaya jual lebih 20,000 hidangan dalam sehari, cipta rekod luar biasa!