Pada saat ini, rakyat Malaysia pastinya sedang mencuba pelbagai cara untuk melajukan semula kipas perlahan di rumah untuk menghilangkan kepanasan yang sedang melanda negara ini.
Lebih menambah kekesalan, peralatan elektrik tersebut juga enggan bekerjasama pada musim panas malah bergerak semakin perlahan walaupun sudah beberapa kali bilahnya dicuci.
Peka dengan situasi dihadapi oleh orang ramai, seorang lelaki tampil berkongsi ilmunya tentang penyelenggaraan kipas perlahan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun X milik Azfar Ahmad.
Tidak perlu membazir wang anda untuk membeli peralatan elektrik yang baharu, Azfar memaklumkan bahawa pengguna cuma perlu menggantikan ‘kapasitor’ di dalam kipas untuk melajukannya semula.
Kapasitor ini difahamkan bernilai tidak lebih dari RM5 di mana pengguna boleh membelinya mengikut jenis model dan jenama kipas atau mengambil gambar kapasitor di rumah sebagai contoh.
Jelas Azfar, mereka yang mengguna tips ini perlu memusing sarung luaran kipas mengikut lawan ke arah jam sebelum menemui tiga skru bagi membuka alat elektrik tersebut.
Kemudian selepas tiga skru berkenaan dibuka, terdapat satu kepingan ‘board’ dapat dilihat di mana ia perlu dicabut bagi meneruskan langkah bagi menukar kapasitor yang telah anda beli.
“Sebelum kamu semua mula membuka lapisan board ini, pastikan cabut dahulu penyambung wayar. Kemudian, barulah kapasitor yang sudah lama itu ditukar dengan alat ganti baharu.
“Aku baru sahaja tukar sebentar tadi. Sekejap sahaja sebenarnya. Tidaklah sampai 20 minit. Jadi daripada membeli kipas yang baharu, apa kata cuba tukar kapasitor dulu.” Ciap pemuda itu.
Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca terutama mereka yang mencari kaedah melajukan semula kipas perlahan.
Baca juga: Kajian luar senaraikan Malaysia di tangga keenam dunia paling kuat ‘mencarut’