Kajian luar senaraikan Malaysia di tangga keenam dunia paling kuat ‘mencarut’

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia tersenarai pada kedudukan keenam dunia sebagai negara paling banyak menggunakan kata-kata kesat menerusi komen dalam talian iaitu dengan kadar 0.019 peratus.

Kajian ini diterbitkan Universiti Queensland di Brisbane, Australia melibatkan 20 negara.

Kajian itu bagaimanapun mendapati, rakyat Amerika Syarikat (AS) paling banyak menggunakan bahasa kasar secara dalam talian.

Hasil kajian mendapati 0.036 peratus daripada jumlah perkataan yang ditulis oleh rakyat AS mengandungi unsur lucah atau kasar, diikuti Britain (0.025 peratus), Australia (0.022 peratus), Singapura (0.021 peratus) dan New Zealand (0.02 peratus).

Kajian yang diterbitkan da­lam jurnal Lingua itu mendapati setiap negara mempunyai kecenderungan unik terhadap jenis makian tertentu.

Kajian itu menganalisis lebih 1.7 bilion perkataan yang digunakan dalam talian daripada 20 negara berbahasa Inggeris, termasuk Australia, Bangladesh, Kanada, Britain, Ghana, Hong Kong, India, Ireland, Jamaica, Kenya, Malaysia, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Tanzania dan AS.

Negara yang berada di kedudukan paling rendah dari segi penggunaan bahasa kesat ialah Bangladesh (0.007 peratus), Ghana dan Tanzania (0.008 peratus) serta Hong Kong (0.009 peratus).

Walaupun begitu, negara-negara seperti Malaysia dan Ireland masih termasuk dalam 10 teratas dengan kadar penggunaan masing-masing sebanyak 0.019 peratus, diikuti Jamaica dan Kanada (0.017 peratus), serta Nigeria (0.016 peratus).

Baca juga: “Suami hina sebab aku beranak czer, berlagak kahwin 2 tapi harap semua isteri tanggung dia”