Satu akaun Facebook telah berjaya mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas menawarkan peluang pekerjaan dengan elaun lumayan mencecah empat angka.
Hanya perlu bertugas dalam tempoh sebulan sahaja, pemohon diwajibkan untuk memiliki kemahiran, ilmu serta tauliah dalam memimpin jemaah masjid di Malaysia.
Difahamkan, tawaran tersebut hanya terbuka untuk rakyat tempatan dan keutamaan diberikan khusus kepada pemohon yang bermukim di jajahan Kuala Krai, Kelantan.
Itu adalah antara syarat-syarat yang disenaraikan pihak Pengurusan Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai, Kelantan di akaun Facebook mereka.
Menawarkan elaun sebanyak RM6,000, pihak pengurusan rupanya sedang mencari individu berkelayakan untuk memimpin solat tarawih sepanjang bulan Ramadan ini.
“Pencarian Imam Tarawih selama sebulan untuk Ramadhan ini. Elaun RM6,000. Hantar ‘resume’ kepada pihak masjid selewat-lewatnya pada 24 Februari menerusi e-mel masjid.
“Keutamaan kepada yang bermukim di jajahan Kuala Krai,” jelas pihak pengurusan masjid berkenaan menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Facebook memberikan pujian kepada pengurusan masjid kerana menawarkan elaun tinggi kepada imam.
Ramai juga individu berharap agar masjid lain turut mencontohi tindakan tersebut di mana ia sekaligus memberikan lebih penghargaan terhadap tugas imam tarawih.
“Alhamdulillah, bagus pihak pengurusan. Rasanya ini kali pertama saya tahu elaun imam tarawih setinggi ini. Ada setengah tempat bawah RM1,000 sahaja,” kata seorang pengguna.
“Tawaran yang membuka mata ramai pihak dan pastinya akan tular. Boleh dijadikan penanda aras (kepada pihak pengurusan di masjid lain),” kongsi pengguna lain.
Baca juga: Penantian berakhir! Penyanyi popular era 90-an gembira 3 anak akhirnya dapat status warganegara