Tular sebuah rakaman video di media sosial memaparkan insiden di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur apabila pengawal keselamatan dilihat cuba merampas bendera Palestin daripada seorang lelaki.
Rakaman berkenaan yang dimuat naik pengguna Instagram umi.irahstories memperlihatkan beberapa individu cuba menahan lelaki terbabit yang ketika itu memegang bendera lengkap dengan kayu.
Situasi itu turut mencetuskan perhatian orang ramai yang berada di lokasi.
Sementara itu, menerusi platform Threads, ada pengguna mendakwa tindakan merampas bendera tersebut dilakukan kerana kayu yang digunakan dianggap berbahaya.
“Selepas perhimpunan, sebahagian daripada kami sedang beredar dan pastinya keluar melalui satu pusat beli belah ini.
“Percaya atau tidak, pengawal atau staf mereka menahan orang ramai daripada masuk hanya kerana membawa bendera Palestin. Malah ada pasangan dengan anak kecil dalam stroller pun turut dihalang.
“Tian pergi membantu, bertanya kenapa mereka tidak boleh membawa bendera itu.
“Pengawal berkata sebabnya adalah kerana kayu bendera dianggap berbahaya seolah-olah tempat itu tidak menjual batang mop dan penyapu?” kongsi farwinafaroque di Threads.
Isu ini jelas menaikkan kemarahan ramai kerana pelik ditahan hanya kerana membawa bendera Palestine.
“Malu betul! Kami ada di sana semalam dan lihat ramai pengawal serta anggota polis yang kelihatan sangat tak senang dengan perhimpunan yang diadakan di situ.
“Saya ada dekat sana lepas habis perhimpuan, pengawal keselamatan ramai berdiri depan pintu tak bagi masuk sebab ada sepanduk, nak naik LRT dia suruh jalan ikut luar,” antara komen di Instagram pemilik video.
Bagaimanapun ramai beranggapan pusat beli belah ini memang terkenal kerana mengikut peraturan.
“Pusat beli-belah ada peraturan yang ketat. Malah, ketika acara Cosplay diadakan di dewan konvensyen, peserta hanya dibenarkan masuk tanpa memakai topeng atau helmet, tidak membawa senjata dan tidak berpakaian separuh bogel.
“Sebarang bentuk protes, laungan atau perarakan juga tidak dibenarkan di dalam pusat beli-belah, meskipun aktiviti tersebut boleh berlaku di jalanan sekitar Kuala Lumpur,” komen seorang pengguna Threads.
“Saya tidak fikir bendera Palestin itu menjadi isu. Saya yakin kalau ia bendera Malaysia sekali pun, pengawal akan bertindak sama.
“Kayu bendera boleh jadi berbahaya. Tujuannya nak elak sebarang kemalangan. Manusia kadang-kadang boleh cuai,” komen pengguna Threads yang lain.
Baca juga: Beras tempatan berlambak di pasaran tapi tak laku-laku, apa pula kata Mat Sabu?