Dua bekas pengarah didakwa menggunakan wang syarikat sebanyak RM200,000 untuk membuat pembayaran bonus kepada diri sendiri.
Mereka didakwa menyalah guna kedudukan dengan memberi bonus tanpa kelulusan mesyuarat agung.
Menurut laporan, pembayaran bonus tersebut dibuat bersekali dengan pembayaran gaji mereka pada 30 Januari 2018.
Di mahkamah sebelum ini, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.
Namun pada 13 Disember 2024, tertuduh iaitu Teo Tzi Sin dan Wong Poh Wah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Hakim menetapkan tarikh perbicaraan pada 20 Disember.
Pada perbicaraan itu, Tzi Sin dan Poh Wah dikenakan denda sebanyak RM100,000 setiap seorang dan jika gagal bayar, hukuman penjara enam bulan terhadap mereka.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kedua-dua tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Nurul ‘Ain Shafie dan Nurul Nabila Azmi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ong Weng Li daripada Tetuan W.L Ong & Associates.
Dalam pada itu, SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.
Baca juga: Baru kena dengan tekak Melayu! Ini cara nak buat spaghetti dengan kuah lemak cili api udang