“Beli mahal-mahal, simpan di garaj buat apa” – Usahawan guna kereta harga RM1.6 juta pergi kebun durian

Oleh MAISARAH AISYA

Kalau sudah mampu apa salah gunakan ia untuk hadiah barangan mewah buat diri sendiri atau keluarga cinta.

Usahawan tudung bawal eksklusif, Haliza Maysuri tidak menyangka suami tercinta Mohd. Rosli Awang menghadiahkan kereta mewah jenama BMW XM Label Red.

Bukan biasa-biasa, harga kereta mewah itu mencecah RM1.6 juta itu diberikan oleh suami Haliza bersempena ulang tahun kelahirannya pada Isnin lalu.

Pada mulanya dia meluahkan hasrat ingin membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum ini kepada suaminya.

Menurut mStar, Haliza dikatakan ingin memiliki SUV untuk memudahkan dia berulang alik ke dusun duriannya di Kampung Peruang, Benta, Kuala Lipis, Pahang.

“Memang sebelum ini ada hasrat nak beli kereta ‘tinggi’ sebab nak guna pergi kebun durian.

“Tapi tak sangka pula suami belikan kereta BMW edisi terhad berharga RM1.6 juta,” katanya seperti dipetik mStar.

Ujarnya dia menggunakan kenderaan tersebut ke kebun kerana bimbang dosa beli tapi tidak menggunakan ia.

“Ada harta kenalah digunakan. Kalau tak guna nanti berdosa. Satu hal pula nak menjawab di akhirat nanti. Beli mahal-mahal, simpan di garaj buat apa?,” ujarnya.

Tidak hanya sebuah kereta mewah, Haliza turut menerima tasbih emas 916 bernilai RM30,000 daripada suaminya.

Baca juga: Ketepikan hasrat untuk buat IVF, Hazama mahu fokus hasilkan album kedua