Bella Astillah berangkat tunai umrah, diiringi Syed Saddiq ke KLIA

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengiringi penyanyi dan pelakon iaitu Bella Astillah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Video tersebut dimuat naik di platform Instagram melalui akaun milik jenama fesyen iaitu PrimaValet pada awal pagi tadi dengan keterangan mendoakan supaya Bella berjaya mendapatkan umrah yang mabrur.

Difahamkan, Syed Saddiq hadir untuk menghantar Bella ke KLIA sebelum terbang ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah bersama adiknya yang juga merupakan penyanyi, Didi Astillah.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat Syed Saddiq dan Bella yang menjadi wajah kempen PrimaValet itu sempat bergambar dengan beberapa anggota keselamatan di lapangan terbang berkenaan.

“Semoga Bella Astillah mendapat umrah yang Mabrur. Alhamdulillah, rezeki ramai yang sayang dan mendoakan Bella,” tulis pengendali akaun jenama fesyen berkenaan di ruangan kapsyen hantaran itu.

Bella berangkat ke ke Tanah Suci Makkah bersama adiknya, Didi Astillah.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata peminat meluahkan keterujaan mereka apabila melihat bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terbabit menemani Bella hingga ke KLIA.

Kehadiran Syed Saddiq juga turut membuatkan peminat mereka semakin yakin bahawa Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memiliki hubungan yang istimewa dengan Bella Astillah.

Dalam pada itu, ramai juga peminat tidak melepaskan kesempatan untuk mengirimkan doa agar Bella bersama Didi dikurniakan umrah yang mabrur dan selamat pergi serta pulang kembali ke Malaysia.

Baca juga: Pakar kewangan sudah lama beri amaran ekonomi gig tidak akan bertahan lama