Terkini: Syed Saddiq bebas pertuduhan seleweng dana Armada

Oleh ROSLAN ZAMAN

Mahkamah rayuan sebentar tadi membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman berkaitan kes penyelewengan dana Armada.

Mahkamah sebulat suara ketepi sabitan dan hukuman penjara 7 tahun, dua sebatan serta denda RM10 Juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wakil rakyat itu.

Hakim Noorin ketika membacakan keputusan itu antara lain berpendapat, pertuduhan bersubahat pecah amanah yang dihadapi oleh Syed Saddiq, tidak berasas.

Beliau berkata, pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan dari dana Armada.

“Dakwaan ketidakjujuran Syed Saddiq yang membawa kepada keuntungan secara salah (wrongful gain) kepadanya atau kerugian secara salah (wrongful lost) pada pihak Armada, tidak dapat dibuktikan.

“Hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan ia membawa kepada kekhilafan ketika mencapai keputusan mensabit dan menghukum Syed Saddiq. Ini memerlukan campur tangan mahkamah,” kata Hakim Noorin.

Sebelum prosiding bermula Syed Saddiq berkata beliau menjunjung tinggi institusi mahakmah untuk bersihkan namanya.

“Saya hormati dan sanjungi institusi ini kerana ia adalah platform terbaik untuk membersihkan nama seseorang, diadili menggunakan fakta dan data, dan pada masa yang sama, diadili oleh ALLAH SWT,” katanya.