Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah rasmi dilantik sebagai penyampai radio bermula pada hari ini selepas bersiaran bersama trio pengendali segmen 3 Pagi Era sebentar tadi iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin.
Perlantikan pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu juga diumumkan menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi milik stesen radio berkenaan dengan sambutan hangat.
Namun perkara yang lebih mengundang perhatian ramai adalah tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghubungi stesen radio berkenaan untuk menitipkan pesanan romantis buat Bella.
Ahli politik terbabit pada mulanya cuba menyembunyikan identiti dengan menyamar sebagai pendengar radio biasa namun percubaan itu tidak berjaya kerana Bella masih dapat mengecam suaranya.
Situasi mencuit hati itu sempat dirakam sebelum dimuat naik menerusi satu hantaran video berdurasi tiga minit 57 saat yang dikongsikan di akaun TikTok rasmi milik stesen radio berkenaan.
“Kepada Nabil, Azad dan Radin tolong jagakan Bella. Teruskan usaha yang baik. Pendengar setia Era selepas ini juga kena terus lagi setia,” pesan ahli politik berusia 33 tahun itu dalam rakaman tersebut.
Terdahulu, pihak stesen radio Era menghantar tawaran jawatan penyampai radio secara terbuka kepada pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform Instagram.
Sekiranya Bella bersetuju menerima tawaran itu, selebriti popular berkenaan diminta untuk hadir ke stesen radio seawal jam 6 pagi bertujuan melaporkan dirinya sebagai ‘intern’ bagi segmen 3 Pagi Era.
“Dengan sukacitanya, pihak ERA menawarkan jawatan kepada Bella Astillah sebagai penyampai radio Era berkuat kuasa mulai 22 September 2025. Kami yakin bakat dan keperibadian Bella akan memberi nilai tambah kepada Era.
“Untuk terus menghiburkan pendengar di seluruh negara. Sekiranya bersetuju, mohon untuk hadir ke Studio Era dan laporkan diri seawal 6 pagi bersama geng 3 Pagi Era,” tulis pihak radio dalam perkongsian di platform Instagram.
Bella yang memulakan kerjaya seni bersama adiknya, Didi Astillah sebagai duo nyanyian dikenali sebagai Anak-Anak Mutiara itu kemudian hadir di Studio Era pagi tadi sekali gus menerima tawaran tersebut secara rasmi.
Terdahulu, Syed Saddiq juga menerima tawaran menjadi penyampai radio untuk segmen sama namun kerjasama yang sudah dimeterai tersebut dibatalkan pada saat akhir di atas sebab-sebab tertentu.
Baca juga: Wakil rakyat Indonesia teruk dikecam lepas tersebar video nak rompak wang negara