Berdepan musuh politik yang sama, pembangkang diseru bekerjasama bina kepercayaan awam

Oleh ARIF ATAN

Setiap kosa kata yang dipilih, dengan wewenang apa pun, ia tidak akan dapat mengubah apa dan/atau apa-apa lagi.

Arakian, ada yang memilih bucu kiasan atau kata sinis di dalam memberi pandangan, itupun masih menuju kepada KALAU.

Nota berfakta, sama ada melalui angka dan nombor menerusi penyata keputusan rasmi, jika dicerakinkan sehalus-halusnya, akan sampai kepada kesimpulan siapa yang paling banyak digit, dia menang.

Kita harus akui terlebih dahulu bahawa negara kita menggunakan sistem FPTP (“First Past The Post”) iaitu kaedah pertandingan undi majoriti. Kendatipun hanya majoriti undi, yang menang akan tetap menang, ‘kacawali’ di’reverse’ atau diarah untuk pemilihan semula oleh mahkamah.

Ini bermakna, sesiapa yang memperoleh undi tertinggi maka dia adalah pemenang di kerusi tersebut, walaupun beza undi dengan pesaing keduanya satu undi.

Adapun kejayaan dalam tajuk undi popular pula, ia sesuai bagi negara yang mengamalkan sistem Kesaksamaan Perwakilan atau ‘Proportionate Representation atau ringkasnya sistem PR.

Berdepan musuh politik yang sama, pembangkang diseru bekerjasama bina kepercayaan awam
Ego dan prinsip parti-parti oposisi perlu dikorbankan untuk berdepan musuh politik yang sama.

Semalam, seramai 1,426,573 Pemilih di Johor telah keluar mengundi daripada 2,539,606 pemilih berdaftar.

Seperti yang diketahui, BN berjaya meraih 40 kerusi DUN dengan 599,753 undi secara keseluruhan dan pembangkang pula memenangi baki 16 kerusi DUN yang membawa kepada kumulatif undi popular sebanyak 826,820 undi.

PRU Negeri Melaka dan Sarawak telah dengan jelas memberi angka bahawa kadar peratusan keluar mengundi adalah rendah berbanding PRU 2018. Di Melaka, kadar peratus pemilih yang keluar mengundi adalah 65.85% manakala di Sarawak 60.67% berbanding di Johor semalam sebanyak 54.92%. Pola ini, jika dilihat, kadar peratus keluar mengundi semakin menurun dari Melaka ke Sarawak hinggalah ke Johor.

Bagi parti-parti pula, bacaan pola dan kadar penurunan peratus keluar mengundi ini, mestilah dilihat dengan jujur dan strategi yang sesuai dengan anggaran paling hampir kepada sasaran jangkaan.

Parti-parti juga harus memperakui bahawa, kesatuan, pakatan atau gabungan melalui persefahaman kerjasama pilihan raya (“electoral pact”) di kalangan oposisi mestilah mengambil kira kejayaan pada 2018.

Parti-parti oposisi mestilah bersetuju bahawa sekarang ini masing-masing mempunyai ‘musuh politik’ (“common enemy”) yang sama. Bergerak dari podium itu, pertemuan bagi mencari titik temu yang boleh membawa kepada satu tapak yang seterusnya, mestilah segera diusahakan.

Saya percaya, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang telah terbukti dan teruji dengan aspek ‘Persahabatan dan Persefahaman Parti-Parti Oposisi’, boleh menjadi ‘orang tengah’ sekali lagi, demi mencapai matlamat menumbangkan musuh yang sama.

Sudah pasti, akan ada pengorbanan yang ‘terpaksa’ ditempuhi oleh pihak-pihak, terutamanya dalam soal ‘ego dan prinsip’ parti-parti oposisi, namun saya percaya, KITA SEMUA SEBAGAI OPOSISI akan berjaya melaluinya dengan bersama-sama.

Suka untuk saya ingatkan diri sendiri dan teman-teman, pra kepada PRU Ke-14 pada 2018, kita memerlukan masa dua tahun untuk membentuk dan membina KEPERCAYAAN orang awam kepada sebuah kerjasama.

Dari tahun 2016, tapak nombor wahid itu dimulakan, pertemuan demi pertemuan direncanakan, sehinggalah kemuncak pada 7 Januari 2018 di satu Konvensyen, kita sama-sama saksikan satu perjanjian yang menatijahkan kejayaan pada 9 Mei 2018.

Apapun ‘Nama Kesatuan’ itu selepas ini, saya tatang denai dan liku buat GABUNGAN SUARA MALAYSIA ini, BERPAKATLAH & BERSATULAH demi negara tercinta.