Beto Kusyairy kemalangan dalam perjalanan buat solat hajat – “Pesanan akhir saya..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hasrat pelakon terkenal, Beto Kusyairy untuk menghadiri majlis doa selamat dan sembahyang hajat terbantut apabila terbabit dalam kemalangan.

Ketika kejadian, pelakon yang berusia 43 tahun itu menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society dari Sungai Buloh menuju ke Masjid Negeri Ipoh, Perak, Isnin lalu.

Beto bagaimanapun bersyukur apabila terselamat dalam kemalangan melibatkan empat penunggang motosikal di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara-Selatan itu.

Menerusi satu hantaran video di laman Instagram, pemilik nama sebenar Nurkusyairi Zakuan Osman itu memaklumkan dirinya selamat dan hanya mengalami luka ringan.

Imbasan X-ray yang dilakukan oleh petugas perubatan terhadap Beto juga mendapati tiada sebarang tulang patah di badan pelakon berkenaan akibat daripada kemalangan itu.

Pada masa sama, bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu memohon orang ramai agar mendoakan seorang lagi penunggang yang mengalami kecederaan parah.

“Sewaktu menghala ke Masjid Negeri di Ipoh untuk melakukan solat hajat, berlaku kemalangan melibatkan saya dan dua penunggang motosikal yang lain.

“Saya nak maklumkan dekat sini. Keadaan saya Alhamdulillah, okay. Sudah buat x-ray. Tiada yang patah, cuma ada sedikit luka-luka kecil. Kecederaan ringan sahaja.

“Cuma saya nak minta doakan seorang lagi penunggang, keadaan dia tidak berapa ‘cantik’. Jadi saya nak mohon doakan kesihatan beliau, diberikan kekuatan,” kata Beto.

Beto turut mengambil kesempatan itu untuk menyampaikan pesanan kepada penunggang motosikal lain supaya berhati-hati di jalan raya terutama pada musim hujan.

“Pesanan akhir saya, kepada penggunggang lain yang nak berjalan jauh atau nak kemana-mana, sekarang musim hujan, jalan licin. Jadi mohon berhati-hati.” Ulasnya.

Terdahulu, seramai 60 peserta Solidariti Wings Motogang Society yang diketuai oleh penyanyi terkenal, Awie bergerak dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sekitar jam 4 petang.

Difahamkan, konvoi dan program solat hajat itu adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Zionis.

Baca juga: Pemergian Suhaimi Saad diratapi, peminat kenang jasa arwah sebar kebaikan di TikTok