Negara semalam dikejutkan dengan berita pemergian bekas anggota In-Team iaitu Suhaimi Saad yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Khabar duka tersebut telah mengundang pelbagai reaksi pilu dari para peminat penyanyi nasyid berkenaan terutamanya di kalangan pengikut akaun TikTok miliknya.
Walaupun sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, Suhaimi Saad cukup aktif dalam berkongsi pandangan dan berinteraksi dengan peminat menerusi platform itu.
Bahkan sebelum ditidurkan, penyanyi berusia 43 tahun itu juga sempat memuat naik hantaran terakhir di platform yang sama untuk memohon maaf kepada pengikutnya.
Susulan menerima khabar pemergian Suhaimi, para peminat membanjiri ruangan komen hantaran berkenaan dengan doa serta ucapan takziah kepada penyanyi itu.
Rata-rata pengikut turut mengambil peluang untuk mengenang jasa arwah yang akhir-akhir ini sering menghibur dan menyebarkan kebaikan melalui akaun TikTok miliknya.
Selain mengajar anaknya mengaji al-Quran menerusi siaran langsung di TikTok, bekas guru Sekolah Rendah Agama Al-Irsyad itu juga sering berkongsi ilmu dan nasihat.
Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan pelayar TikTok untuk mengenang jasa baik suami kepada Ina Naim atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim:
“Sedihlah. Banyak ilmu agama yang saya tak tahu, Suhaimi Saad kongsi menerusi siaran langsung. Semoga Allah bagi balasan atas kebaikan arwah di alam sana.
“Semoga Suhaimi Saad ditempatkan dikalangan orang-orang soleh dan diampunkan segala dosa. Terima kasih selalu kongsi ilmu dan bagi nasihat untuk kami semua.
“Lama tak tengok siaran langsung. Rupa-rupanya masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya kerana kebaikannya mengajarkan banyak doa.
“Pernah sertai siaran langsung arwah. Dia ada aura yang positif. Selalu kongsi ilmu agama. Semoga diberi kemudahan buat Ina sekeluarga.” Kata para peminatnya.
Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke ICU di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak seminggu lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Arwah mengalami batuk berpanjangan selama beberapa bulan, diikuti dengan cirit birit sejak sebulan lalu hingga kehilangan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg).
Keadaannya semakin lemah memaksa bapa mentuanya membawa arwah pulang ke Johor untuk menerima rawatan sebelum ditidurkan bagi mengurangkan kesakitan.
Pemilik nama sebenar Mohd Suhaimi Saad itu kemudian disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam tadi dan dimandi serta dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI.
Jenazah arwah kemudian dibawa pulang ke rumah keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi untuk dikebumikan di sana, pagi tadi.
Baca juga: Bukan gimik! Nabila Razali bakal tamatkan zaman bujang