Kenderaan jenis BMW yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini bukanlah kenderaan rasmi baharu beliau sebaliknya merupakan aset sedia ada milik kerajaan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi satu kenyataan bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) yang dimuat naik di platform Facebook.
Difahamkan, kenderaan yang mempunyai spesifikasi keselamatan tinggi tersebut merupakan aset sedia ada kerajaan di bawah seliaan BIUPA dikhususkan untuk kegunaan logistik rasmi negara.
“Kenderaan berkenaan disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri sempena lawatan rasmi ke Malaysia. Selaras dengan keperluan protokol dan keselamatan antarabangsa.
“Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron,” kata kenyataan yang dikongsikan menerusi akaun rasmi JPM tersebut.
Mengulas lanjut, JPM dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh pemimpin nombor satu negara tersebut atas nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hal ini berikutan kenderaan rasmi kurniaan Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini digunakan Anwar merangkap Menteri Kewangan terbabit sedang menjalani proses penyelenggaraan berkala.
“Kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh YAB Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan PDRM.” Ujar kenyataan tersebut bagi menjawab dakwaan berhubung isu tersebut.
Terdahulu, tular dakwaan serta spekulasi di platform media sosial berhubung status pemilikan kenderaan berperisai yang digunakan oleh Perdana Menteri itu susulan laporan sebuah portal dengan tajuk ‘Kereta rasmi PMX Anwar Ibrahim.
Baca juga: ‘Tak sangka takut kena ‘interview’ – Caprice persoal kenapa calon BN semua elak ditemu bual