BN Johor tidak perlu persetujuan parti lain

Oleh ARIF ATAN

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada parti lain berhubung keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menjawab dakwaan tiada perbincangan dengan Bersatu dan Pas serta didakwa hanya keputusan Umno sendirian, beliau berkata, tidak memerlukan kerjasama dengan mana-mana parti yang berada di luar BN.

Menurutnya, ini kerana PRN adalah diasaskan kepada Bahagian Kedua dan Ketiga Fasal 23 Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang membenarkan pihaknya membubarkan DUN sebelum tamat tempoh lima tahun tanpa menerima persetujuan mereka.

“Itu yang pertama, kedua pembubaran DUN hanya boleh dibuat Sultan Johor dan kita sudah patuhi kedua-dua fasal dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri, oleh itu perkara ini tidak berbangkit.

“Oleh itu, mesyuarat majlis kerajaan (MMK) negeri yang diadakan semalam hanyalah untuk memaklumkan berkaitan pembubaran DUN dan bukannya untuk mendapat persetujuan mereka,” lapor BH.

Dalam masa sama, Hasni menegaskan BN akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan yakin memperoleh kemenangan dua pertiga kerusi DUN.

“Kita akan cadangkan kepada BN Pusat untuk BN Johor bertanding sendirian dalam PRN, kita yakin boleh menang tetapi apa pun keputusan ini terpulang kepada pucuk pimpinan,” tambahnya lagi.