BN sokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Hajiji

Oleh MALAYSIADATELINE

Barisan Nasional (BN) mengambil ketetapan untuk memberi sokongan dan mendukung Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendirian itu sejajar dengan ketetapan setiap parti di peringkat Persekutuan yang telah membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya.

“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Feb lepas untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri termasuk Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata BN Sabah dipertanggungjawab menggembleng segala usaha untuk memastikan agenda perpaduan dapat direalisasi sekali gus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri itu melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

BN turut menamakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Yakub Khan sebagai wakil UMNO dan gabungan itu dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah.

Baca Artikel Penuh