Sebuah masjid tempatan berjaya mencuri perhatian setelah dilaporkan menyediakan tabung khusus untuk wang yang tidak patuh syariah.
Perkara itu tular di media sosial setelah beredarnya sekeping gambar yang diambil di masjid yang terletak di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
Gambar tersebut hanya memaparkan kotak besi sumbangan yang disediakan pihak masjid buat mereka yang ingin bersedekah.
Namun yang menjadi perbincangan hangat, tabung tersebut menerima wang sumbangan dari sumber yang bertentangan dengan syariah.
Tidak disunting, foto tersebut dikongsi oleh personaliti TV3 terkenal, Ahmad Fedtri Yahya menerusi satu hantaran di akaun Twitter miliknya.
“Di masjid ni ada tabung wang tidak patuh syariah. Masjid Al-Hidayah, Sungai Penchala,” ciap pengacara terkenal yang berusia 42 tahun itu.
Menerusi ciapan Fedtri, kotak besi itu dilekatkan dengan kertas pernyataan yang mengandungi maklumat lanjut mengenai tabung tersebut.
Difahamkan, tabung itu menerima sebarang bentuk penghasilan daripada perbuatan atau transaksi yang bertentangan dengan hukum syarak.
Menurut pernyataan itu, wang di dalam kategori tersebut ialah wang riba atau faedah, judi atau pertaruhan dan wang insurans konvensional.
Duit yang datang dari jual beli sekuriti yang tidak halal dan bonus pelaburan tidak patuh syariah juga tergolong dalam kategori tersebut.
Berikutan tularnya hantaran Fedtri itu, pasti ramai pengguna media sosial khususnya mereka yang beragama Islam meragui status wang tersebut.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, adalah menjadi kewajipan bagi pemilik harta (sumber haram) untuk menginfakkan harta.
Bukan bertujuan untuk meraih pahala, pemilik juga perlu bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatan maksiat tersebut.
Penerima juga boleh mengambil harta yang haram atau syubhah atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah.
Halal untuk diterima, harta ini juga tidak perlu dikembalikan dengan syarat penerima tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang haram itu.
“Rujuk: Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar, 2/65).” Katanya.