Seramai 20 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan terlibat di dalam operasi bantuan mengebumikan jenazah seorang pemuda yang memiliki berat 420 kilogram (kg), lewat malam semalam.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Negeri Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya terpaksa menggunakan lori lima tan untuk mengangkat jenazah dari rumahnya di Kampung Pasir Hor, Kota Bharu ke tanah perkuburan.
Lori kemudian diletakkan berhampiran dengan kubur sebelum jenazah pemuda dikenali sebagai Sheikh Mohd Ali Omar itu diangkat menggunakan hos sebagai alas untuk memudahkannya dimasukkan ke liang lahad.
Jenazah lelaki berusia 44 tahun itu berjaya dikebumikan dengan selamat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jaya, Pasir Hor kira-kira pukul 11.20 malam tadi dengan bantuan penduduk kampung di situ, lapor Berita Harian.
Menurut Mohd Wildan, pihaknya bersyukur kerana urusan pengebumian jenazah yang berlangsung selama hampir satu jam itu dapat dilaksanakan anggota bomba dengan sokongan semua pihak.
“Syukur Alhamdulillah, kita juga banyak dapat sokongan warga mukim di sini selain di pihak penghulu juga memudahkan urusan pengebumian.
“Dari segi aspek pengurusan jenazah ke liang lahad, kita guna tenaga kita semua tadi. Keseluruhannya seramai 20 orang dan kami menggunakan troli buatan sendiri,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Operasi yang bermula sekitar pukul 10.30 malam tadi itu turut disaksikan oleh hampir 100 penduduk kampung berkenaan.
Terdahulu, kakak kepada Sheikh Mohd Ali iaitu Hanoraziah Hassan, 60, merayu bantuan daripada pihak berkuasa dan orang ramai untuk menguruskan jenazah adiknya yang meninggal dunia di rumah mereka, tengah hari semalam.
Hal ini kerana Hanoraziah menghadapi kesukaran ekoran arwah adiknya tidak memiliki surat pengesahan kesihatan dan dokumen penting bagi urusan pengebumian memandangkan arwah sudah lama tidak ke klinik akibat sukar bergerak.
Difahamkan, Sheikh Mohd Ali sempat diselamatkan pihak bomba pada pagi kejadian selepas terlekat dalam tandas namun tidak lama kemudian, arwah lemah dan lelah sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12 tengah hari.
Keadaan mereka yang yatim piatu dan sukar bergerak menyebabkan Hanoraziah terpaksa bergantung kepada penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan media bagi menyuarakan keresahannya.
Baca juga: Wisma terbesar D’Herbs akhirnya ditutup lepas 10 tahun, Aliff Syukri dedah apa dah jadi