Bront Palarae harumkan nama Malaysia, raih trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Thailand!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Bront Palarae telah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Anugerah Baan Nang Klang Lakorn Ke-21 yang diadakan di Thailand sekali gus mengharumkan nama negara.

Khabar gembira tersebut dikongsikan oleh Bront di akaun Instagram miliknya yang mana pengiktirafan itu diterima menerusi lakonannya dalam filem seram terbitan negara berkenaan iaitu The Cursed Land.

Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin menyifatkan kemenangan itu sebagai satu pencapaian luar biasa ekoran langsung tidak menyangka akan meraih pengiktirafan sebegitu di pentas asing.

Pelakon berusia 47 tahun itu kemudian mendedikasikan kemenangan yang diperolehnya kepada seluruh pasukan produksi filem The Cursed Land kerana telah bekerja keras untuk menjayakan naskhah berkenaan.

“Alhamdulillah, berlakon dalam filem Thailand terasa seperti mimpi yang jauh. Apabila menerima anugerah ini, saya rasa macam tak percaya. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dari Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21.

“Gila! Memang di luar jangkaan. Saya ucapkan terima kasih dari lubuk hati kepada pasukan The Cursed Land. Kerja keras anda semua menjadikan pencapaian ini satu realiti.

“Terima kasih juga kepada Panu Aree, Kong Rithdee, Nonzee Nimibutr, Chankit dan Suraphi yang sentiasa sabar dan memberi sokongan penuh sepanjang penggambaran,” katanya dalam perkongsian itu.

Penglibatannya di dalam pembikinan filem itu disifatkan Bront sebagai pengalaman yang cukup berharga kerana dapat bergandingan dengan pelakon ternama Thailand serta rakan-rakan Melayu.

Malah dalam perkongsian sama, Bront turut menzahirkan harapannya supaya lebih banyak kisah masyarakat Melayu di wilayah selatan Thailand diangkat sebagai filem dan ditayangkan di layar perak negara itu.

“Berpeluang berkongsi layar bersama Ananda Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon dan dua pelakon Melayu, Han Zalini serta Firdaus Karim adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan.

“Saya harap satu hari nanti, lebih banyak kisah tentang komuniti Melayu di wilayah selatan dapat diangkat ke layar. Mereka juga punya sejarah kaya yang wajar didengar dan diraikan.” Kongsinya.

Bront turut menewaskan pelakon tempatan termasuklah Benjamin Varney dan Bhumipat Thavornsiri menerusi filem In Youth We Trust, Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis) serta Sanya Kunakorn dan Pongsatorn Jongwilas (How to Make Millions Before Grandma Dies).

Baca juga: Anak muda ini raih RM7,000 sebulan jadi pekebun sawit